YAACOB HARUN

Just another WordPress.com weblog

PERKEMBANGAN TEKNOLOGI DAN PERUBAHAN NILAI KEKELUARGAAN MELAYU May 25, 2009

Filed under: Uncategorized — yaacob @ 7:31 am

PERKEMBANGAN TEKNOLOGI  & PERUBAHAN NILAI KEKELUARGAAN MELAYU

Yaacob Harun

____________________________________________________________________________________

PENGENALAN

Intipati perbincangan dalam kertas kerja ini berkisar pada sejauhmana nilai-nilai kekeluargaan Melayu mengalami perubahan akibat perkembangan teknologi. Adakah nilai-nilai utama dalam masyarakat Melayu, khususnya nilai-nilai kekeluargaan akur kepada kehendak dan perubahan teknologi, atau sebaliknya adakah nilai-nilai itu dapat bertahan walaupun masyarakat Melayu kini berdepan dengan arus perubahan teknologi yang pesat.

TEKNOLOGI DAN BUDAYA: ASAS TEORI

Mengikut pendokong teori “technological determinism” seperti Leslie White, Marx, McLuhan, Ogburn, dan lain-lain, perubahan teknologi mengakibatkan perubahan pada masyarakat dan budaya. Dalam masyarakat di mana tahap perkembangannya teknologinya tinggi seperti masyarakat peridustrian, maka tahap kemajuan masyarakat dan budaya dalam masyarakat tersebut juga tinggi, begitu juga sebaliknya. Mengikut teori ini, struktur dan organisasi masyarakat, termasuk falsafah, pengetahuan, dan nilai sentiasa akur kepada perubahan teknologi, malah tunduk kepada kehendak dan perubahan teknologi. Seperti kata Ron Westrum (1991), “ the very structure of our society is related to the kind of technologies that we have”. Sebagai contoh, falsafah dan nilai kerjasama seperti terdapat dalam masyarakat pertanian (di mana tingkat teknologinya rendah), tidak lagi dapat dipertahankan dalam masyarakat perindustrian moden (yang berasaskan kemajuan teknologi). Dalam masyarakat teknologi (technological society), falsafah dan nilai-nilai individualistis menjadi kelaziman.

Apabila teknologi menjadi penentu kepada sistem budaya, maka wujud apa yang dikatakan budaya-tekno (techno-culture). Masyarakat yang dilanda oleh budaya-tekno dikatakan masyarakat yang non-normatif, maksudnya, masyarakat yang tidak berlandaskan kepada sistem norma (normless society). Struktur masyarakat seperti ini adalah sesuatu yang cair (fluid social structure) yang berubah mengikut perubahan komponen utama, iaitu komponen teknologikal, dalam masyarakat tersebut.

Persoalan timbul, adakah pendapat atau teori “technological determinism” ini betul-betul berasas, atau adakah teknologi dan perkembangan teknologi dalam sesebuah masyarakat itu sebaliknya ditentukan oleh budaya. Bagi para pendokong teori “cultural determinism” seperti Max Weber, Brian Winston, dan lain-lain, mereka berpendapat kemajuan masyarakat (termasuk kemajuan teknologi) sangat bergantung kepada falsafah dan nilai yang didokong oleh anggota sesebuah masyarakat itu. Jika satu-satu aspek perubahan atau satu komponen teknologi itu tidak selaras dengan sistem budaya atau tidak selaras dengan nilai utama dalam masyarakat tersebut, maka besar kemungkinan berlaku penolakan terhadap komponen teknologi yang dimaksudkan. Brian Winston (1995:14) mengatakan, “Social, political, and economic forces play powerful roles in the development of new technologies…inventions and innovations are not widely adopted on the merits of a technology alone…there must always be an opportunity as well as a motivating social, political, or economic reason for a new technology to be developed”. Weber (1904/1930) juga memberi contoh dengan mengatakan masyarakat Protestant maju dari segi ekonomi dan juga dari segi teknologi sebab terdapat etika dalam agama tersebut yang memberi rangsangan dan motivasi kepada penganutnya untuk berkerja keras dan mencapai kemajuan dalam hidup, kerana kemajuan yang diperolehi itu selaras dengan tuntutan agama.

 Berdasarkan kepada perkara-perkara yang disebutkan di atas, di sini saya cuba meninjau perkara-perkara berikut:

  1. Sejauhmana masyarakat dan budaya Melayu dipengaruhi oleh budaya-tekno. Adakah masyarakat Melayu itu non-normatif yang tidak berpegang kepada nilai-nilai utama khususnya yang berteraskan agama (Islam) dan adat dan tunduk kepada teknologi?
  2. Adakah keadaan sebaliknya berlaku di mana nilai dan norma utama dalam masyarakat Melayu mempengaruhi perkembangan teknologi, dan nilai dan norma itu sentiasa dipertahankan walaupun dianggap ketinggalan zaman dan usang? atau
  3. adakah terdapat gabungan antara yang pertama dan kedua di atas di mana sebahagian daripada nilai dan norma ditinggalkan, dan sebahagian lagi masih dipertahankan, dan jika demikian apakah asas-asas yang dapat menyokong keadaan tersebut.

Dalam kertas kerja ini saya menggunakan istilah masyarakat teknologi (technological society) bagi merujuk kepada masyarakat yang sedang mengalami perubahan teknologi pesat termasuk masyarakat Melayu, terutamanya yang terdapat di sektor moden (bandar). Fokus perbincangan seperti dinyatakan pada awalnya hanya kepada nilai-nilai kekeluargaan Melayu dalam konteks masyarakat teknologi.

PERKEMBANGAN TEKNOLOGI & NILAI KEKELUARGAAN MELAYU

Perbincangan tentang nilai kekekuargaan Melayu berkisar kepada empat isu pokok iaitu perkahwinan, struktur keluarga, perubahan peranan wanita, dan jurang generasi. Bagi  saya ini adalah isu-isu penting dalam konteks perbincangan tentang perubahan nilai dalam masyarakat teknologi.

Perkahwinan

Perkahwinan ditakrifkan sebagai hubungan (seksual) yang sah di antara lelaki dan perempuan yang terkandung di dalamnya hak dan tanggung jawab tertentu. (Dictionary of Sociology, 1994:388). Dalam masyarakat Melayu yang beragama Islam, perkahwinan yang sah (legal) itu mesti mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh Islam. Sebarang hubungan seksual antara lelaki dan perempuan di luar ikatan perkahwinan yang sah tersebut adalah perbuatan yang non-normatif.

Dalam konteks ini, tanpa diragui masyarakat Melayu sehinggi kini masih tetap, dan akan terus memilih perkahwinan sebagai insitusi yang membenarkan hubungan kelamin secara sah. Walaupun amalan-amalan hubungan kelamin sebelum nikah (pre-marital sex), atau hubungan seksual bebas (free-sex) dilakukan oleh sebilangan pasangan muda-muda terutama di bandar, perbuatan tersebut tetap disifatkan sebagai perbuatan terkutuk di sisi agama dan adat. Pasangan yang terlibat, jika tertangkap akan menerima akibatnya. 

Kes-kes pembuangan bayi yang sering disiarkan di dada akhbar, tidak lain tidak bukan, disebabkan oleh ibu muda yang melahirkan anak tersebut tidak dapat berdepan dengan cemuhan masyarakat dan keluarga. Sebagai jalan keluar atas perbuatan terkutuk yang dilakukan hingga mengakibatkan kehamilan luar nikah, pembuangan bayi merupakan jalan keluar yang difikirkan paling praktikal dan mudah. Ini menandakan sistem nilai dalam masyarakat Melayu tetap meletakkan institusi perkahwinan sebagai sesuatu yang unggul dan normatif.

 Saya percaya selagi masyarakat Melayu masih berpegang kuat kepada nilai-nilai keagamaan dan adat berkaitan dengan pola-pola hubungan seksual yang sah, maka fenomina hubungan kelamin tanpa kahwin seperti lumrah berlaku di Barat dewasa ini, tidak akan menjadi isu yang besar. Walau bagaimana pun, masyarakat Melayu kini berdepan dengan cabaran ciptaan teknologi seperti pil pencegah kehamilan (contraceptives), kondom, kemudahan pengguguran, dan sebagainya yang mendorong pasangan muda mudi, malah sesiapa sahaja, ke arah melakukan hubungan seksual bebas tanpa nikah.

Satu aspek lain berkaitan dengan perkahwinan ialah pilihan jodoh. Dalam masyarakat teknologi, pilihan jodoh kebanyakannya berdasarkan cinta. Pasangan yang berkahwin telah terlebih dahulu berkenalan dan bercinta sebelum mendirikan rumah tangga. Mereka mungkin mempunyai banyak perbezaan dari segi latarbelakang keluarga, kedudukan ekonomi, tempat kediaman, dan taraf pendidikan. Dari segi ini didapati, ukuran pemilihan jodoh seperti diamalkan oleh masyarakat Melayu tradisi dengan nilai-nilai pilihan jodoh berasaskan hubungan kekeluargaan, kesamaan kedudukan ekonomi ibu bapa, kesamaan tempat kediaman, dan sebagainya, tidak lagi menjadi amalan. Malah perkahwinan di kalangan muda mudi Melayu pada hari ini melampaui batas-batas kaum dan negara. Perkahwinan campur (Melayu-Cina, Melayu-India, Melayu-Arab, Melayu-Inggeris, dll) tidak lagi menjadi sesuatu di luar dugaan. Namun demikian, sebagai sesuatu yang normatif, terutamanya dalam konteks Malaysia, pasangan yang berkahwin itu mesti kedua-duanya beragama Islam. Ini kerana, di Malaysia hal-hal berthabit dengan keluarga dan perkahwinan di kalangan orang Melayu masih tertakluk kepada ketetapan perundangan Islam yang ditadbirkan oleh Mahakamah Syariah di setiap negeri dan wilayah persekutuan.

Satu perkembangan menarik berkaitan dengan pilihan pasangan di zaman teknologi ini ialah, selain pertemuan di masa kuliah, di tempat kerja, dan sebagainya, terdapat pasangan muda mudi kini menjalinkan percintaan dan perkahwinan setelah berjumpa dan berkenalan melalui internet. Kini “perkahwinan internet (internet marriage)” sudah menjadi kian popular. Melalui internet juga, sesiapa sahaja boleh mengiklankan diri untuk mencari pasangan hidup dengan meletakkan butir-butir peribadi, termasuk gambar. Bagi yang berminat, tindakan susulan boleh dilakukan, dan jika serasi dan sesuai, perkahwinan akan berlaku.

Zaman merisik, bertanya khabar seperti diamalkan oleh orang Melayu sudah lama berlalu. Masyarakat Melayu kini juga tidak lagi berselindung di balik kata-kata kiasan dan ibarat seperti “bunga di taman sudahkah berpunya” atau “burung di sangkar sudahkah berteman” dalam mencari jodoh. Apa yang dilakukan ialah tindakan secara langsung (direct) oleh pasangan yang bakal berkahwin itu yang disusuli kemudian oleh ibu bapa dan keluarga masing-masing dalam mengatur dan melaksanakan majlis pernikahan dan sambutan. Peranan ibu bapa dan keluarga hanya sesuatu yang sekundar (secondary) bagi memenuhi tuntutan agama dan adat semata-mata.

Apabila perkahwinan masa kini lebih mementingkan kesesuaian perhubungan antara dua individu sahaja dan tidak sangat mementingkan kesesuaian perhubungan antara dua kelompok keluarga, iaitu ibu bapa bagi kedua-dua belah pihak, maka besar kemingkinan pasangan  yang berkahwin itu  menghadapi tekanan dan juga masalah,  khususnya yang berkaitan dengan keharmonian perhubungan mertua-menantu dan juga dalam  perhubungan sesama besan. Lantaranya,  pasangan yang berkahwin itu  tidak mempunyai sistem sokongan (support system) yang begitu penting dalam kehidupan keluarga, terutama sekali pada peringkat awal perkahwinan.  Konflik kahwinan (conjugal conflict), jika timbul, juga tidak dapat dibendung atau ditenteramkan oleh pihak ketiga (dengan menyediakan sistem sokongan yang diperlukan). Ini, akhirnya  akan membawa kepada serakberai keluarga (family diorganization). Tanpa sistem sokongan daripada ibu bapa, atau tidak mendapat restu daripada ibu bapa, maka besar kemungkinan perkahwinan itu berakhir dengan perceraian.

Struktur Keluarga

Dalam masyarakat Melayu, seseorang itu pasti menjadi anggota sesebuah keluarga pada setiap tahap dalam hidupnya. Semasa kecil, beliau menjadi anggota keluarga orientasi, setelah berkahwin, samada beliau membentuk keluarga prokreasi sendiri, atau terus tinggal dan menjadi anggota keluarga besar sebelah suami atau sebelah isteri, dan apabila meningkat usia, beliau boleh tinggal bersama anak lelaki atau anak perempuan yang telah berkahwin. Jarang sekali, seseorang itu tinggal bersendirian sepanjang hayatnya. Ini bermakna institusi keluarga merupakan insitusi unggul dalam masyarakat Melayu. Seseorang yang tidak mempunyai keluarga tidak ubah seperti seorang yang telah mati.

Namun demikian, struktur keluarga Melayu tidak terkecuali atau terlepas dari dipengaruhi oleh gejala perubahan pada zaman teknologi kini. Ada pendapat yang mengatakan keluarga adalah institusi yang mengongkong kebebasan individu (terutama kebebasan seks muda mudi), sebagai penjara kepada  wanita (isteri) kerana terperangkap dengan tugas tradisi sebagai pengurus rumah tangga (homemaker), dan sebagai institusi yang meruntuhkan sifat keindividuaan (individuality). [Elliot, 1986:2). Jadi, sebagai tindak balas untuk membebaskan diri daripada “kongkongan” keluarga, maka berlaku amalan  perzinaan (adultery),  seks bebas, homoseks, bersedudukan, kehamilan tanpa nikah, sumbang muhrim, pembuangan bayi, bohsia, bohjan, deraan (anak, isteri dan suami), konflik keluarga, dan pelbagai kegiatan anti-sosial yang lain. Kita tidak dapat nafikan bahawa gejala negatif seperti ini bukan merupakan sesuatu yang asing bagi penduduk Malaysia. Malah, ia menjadi amalan yang kian meningkat dan berleluasa, terutamanya di bandar. Namun demikian, di sebalik mempunyai bibit-bibit serakberai seperti dinyatakan di atas, struktur keluarga Melayu dalam masyarakat teknologi, pada umumnya masih berlandaskan kepada faktor-faktor normatif. Orang Melayu masih tidak menerima hakikat yang sesuatu keluarga itu dibentuk tanpa ikatan perkahwinan yang sah di kalangan lelaki dan perempuan. Jika ada pendapat yang mengatakan bahawa institusi keluarga sudah berkubur (demise) berdasarkan hakikat wujudnya beberapa opsyen atau bentuk keluarga (family forms) yang baru dalam masyarakat teknologi seperti bersekedudukan (cohabitation), pasangan sama jantina (same-sex pairing), perkahwinan gay dan lesbian (gay and lesbian marriages), ibu bapa tunggal (single parent), dan sebagainya, maka opsyen dan bentuk-bentuk keluarga tersebut, pada umumnya,  masih belum mendapat tempat dalam skima nilai orang Melayu yang beragama Islam.

Masyarakat Melayu juga tidak menerima amalan-amalan seperti pembentukan keluarga dan kelahiran anak melalui “artificial insemination” jika sperma itu bukan datang dari dari suami yang sah. Begitu juga kelahiran melalui perantaraan ibu tumpang (surrogate mother) juga tidak diterima kerana tidak akur kepada faktor normatif. Dari segi ini, saya berpendapat, sistem nilai orang Melayu yang berteraskan Islam tidak akan terjejas walau setinggi mana kemajuan dicapai dalam bidang teknologi. Walau bagaimana pun amalan-amalan seperti perancangan keluarga (family planning), dan “in vitro fertilization” (IVF) oleh pasangan suami isteri bagi mengatur kelahiran sudah diterima oleh masyarakat Melayu di Malaysia walaupun timbul beberapa kontraversi. Ini menandakan bahawa teknologi boleh membantu dalam pembentukan keluarga jika teknologi itu digunakan atas asas-asas yang tidak bercanggah dengan ajaran agama, atau yang ditafsirkan sebagai sah di sisi agama dan nilai utama masyarakat.

Perubahan Peranan Wanita (Wanita Kerjaya)

Dalam masyarakat teknologi, ramai wanita turut terlibat dalam pasaran buruh menjalankan berbagai-bagai pekerjaan di luar keluarga. Mereka mempunyai peluang yang luas untuk sama-sama dengan lelaki menyumbangkan potensi dan kebolehan yang ada  kepada masyarakat, dan tidak lagi terpaksa terus terkongkong menjalankan tugas dan peranan tradisi sebagai surirumah (homemaker). Dengan kemasukan wanita ke dalam pasaran buruh dengan menjalankan pelbagai pekerjaan yang dulunya menjadi monopoli kaum lelaki bermakna:

  1. tugas mencari nafkah keluarga adalah menjadi tanggung jawab bersama dan bukan lagi terletak di tangan suami;
  2. isteri mempunyai autoriti yang sama banyak dalam membuat keputusan penting mengenai keluarga;
  3. sikap dominasi suami ke atas isteri berkurangan;
  4. isteri tidak lagi bergantung seluruhnya dari segi ekonomi kepada suami;
  5. wujud bibit-bibit “persaingan” antara pasangan suami-isteri; dan
  6. keluarga tidak lagi dapat menjalankan fungsinya dengan berkesan, khususnya fungsi ekonomi dan fungsi pendidikan.

Kajian di kalangan kelas menengah di Amerika menunjukkan apabila  suami  isteri   terlalu menumpukan perhatian kepada pekerjaan masing-masing dan tidak mempunyai kesempatan  yang lebih untuk bersama keluarga,  kerenggangan hubungan  yang  membawa kepada hakisan cinta  antara  mereka akan  berlaku.  Kadar perceraian meningkat apabila terdapat persaingan antara pasangan suami isteri dalam bidang pekerjaan dan juga apabila golongan wanita merasai diri mereka boleh  berdikari tanpa bergantung kepada suami (Talcott Parsons,1977).

Sehubungan dengan itu, perjuangan kaum wanita  terutama sekali “untuk melepaskan diri/membebaskan diri dari kongkongan serta dominasi kaum lelaki (suami), mewujudkan ketegangan dalam perhubungan suami isteri. Saya berpendapat, tiupan angin gerakan feminis yang kencang di Barat itu telah pun sampai ke Timur. Ada di kalangan wanita (isteri) Timur kini, termasuk wanita Melayu yang terbawa-bawa dengan semangat perjuangan untuk “membebaskan” diri daripada “kongkongan” lelaki (suami) dengan mengambil tindakan “agresif” seperti mendera suami (secara psikologi), bersifat angkuh dengan kecapaian pendidikan dan ekonomi mereka, tidak menghormati suami sebagai ketua keluarga, dan sebagainya.

Walau bagaimana pun, pada umumnya, saya berpendapat majoriti para isteri Melayu yang terlibat dalam pasaran buruh di luar keluarga masih mendokong nilai-nilai Timur, dan akur kepada nilai-nilai normatif. Mereka berkerja bukan semata-mata untuk mencari kebebasan dan ingin berdikari. Mereka sedar peranan mereka sebagai isteri dan ibu tidak mudah hendak diabaikan. Penglibatan mereka dalam pekerjaan di luar keluarga adalah untuk menambahkan pendapatan dan meningkatkan kedudukan ekonomi keluarga. Cuma yang perlu disedari ialah mereka dibebankan oleh dua tugas sekaligus, iaitu sebagai pekerja dan sebagai surirumah. Dengan tenaga dan masa yang terhad kadang-kadang menyebabkan kedua-dua tugas yang dipikul itu tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Oleh sebab itu, ada pihak-pihak tertentu (para pendokong nilai-nilai normatif) mensarankan wanita sepatutnya lebih menumpukan perhatian kepada keluarga dan rumah tangga, kerana tugas itu adalah tugas asasi mereka. Pada keseluruhannya perubahan peranan wanita dalam masyarakat teknologi meletakkan mereka dalam dilema, iaitu untuk memenuhi tuntutan pekerjaan di satu pihak dan untuk memenuhi tuntutan keluarga di pihak yang lain. Bagi yang berhenti kerja untuk memenuhi tuntutan keluarga, bermakna mereka tidak terus tunduk kepada tuntutan dan perubahan teknologi.

Jurang Generasi

Jurang generasi (generation gap) adalah “the difference in ideas, feelings, and interests between older and younger people, especially considered as causing a mutual lack of understanding” (The New Penguin English Dictionary:582). Perbezaan idea, citarasa, dan minat antara generasi, terutama antara ibu bapa dan anak berlaku dalam semua masyarakat, lebih-lebih lagi dalam masyarakat teknologi.

Dalam masyarakat Melayu kini masih terdapat tiga generasi yang pada umunya mendokong nilai, citarasa, dan amalan yang agak berbeza. Generasi pertama terdiri daripada datuk dan nenek yang masih tinggal di kawasan luar bandar; generasi kedua pula ialah generasi ibu bapa yang berhijrah dari kawasan luar dan seterusnya menetap di bandar; dan terakhir generasi ketiga ialah generasi cucu yang lahir dan dibesarkan di tengah-tengah pusat perubahan di bandar.

Perkembangan sahsiah atau personaliti seseorang itu sangat dipengaruhi oleh faktor persekitaran (environment) sosial dan fizikal. Golongan yang dilahirkan, yang dibesarkan dan yang terus tinggal dalam persekitaran yang sama di sepanjang hayat lazimnya akan akur kepada sistem nilai, citarasa, dan minat penduduk di  persekitaran tersebut. Bagi generasi pertama, misalnya, sistem nilai yang didokongi mereka adalah sistem nilai luar bandar yang berlandaskan prinsip kerjasama, sifat hormat menghormati, perpaduan kelompok, dan  amalan normatif yang lain. Ini berbeza dengan sistem nilai yang terdapat dalam masyarakat bandaran moden atau dalam masyarakat teknologi yang memperlihatkan ciri-ciri kebebasan individu, mementingkan diri sendiri, sifat non-normatif dan sebagainya yang dicanaikan atau tercanai dalam proses perkembangan sahsiah generasi ketiga. Sistem nilai yang didokong oleh generasi kedua pula boleh dikatakan sebagai sistem nilai yang menggabungkan kedua-dua rangkap nilai di atas, tetapi itu pun bergantung kepada kecenderungan mana yang lebih berat. Atas hakikat ini, maka tidak menghairankan jika salam faham sering wujud antara generasi-generasi yang dimaksudkan, dan kerenggangan hubungan berlaku antara mereka, terutamanya antara generasi pertama dan kedua. Kehadiran datuk dan nenek dari kampung, kadang-kadang tidak begitu disenangi oleh anggota keluarga bandaran.

Lanjutan daripada perubahan peranan wanita yang dibincangkan di atas, fungsi sosialisasi yang dijalankan oleh keluarga sedikit sebanyak turut terjejas. Apabila anak-anak tidak diasuh dan dibendung dengan sempurna oleh ibu bapa (terutama oleh ibu yang turut keluar berkerja), maka mereka terbiar bersendirian sesama mereka. Pengaruh rakan setara (peer group) yang kuat menyebabkan mereka terbawa-bawa melakukan sesuatu di luar batasan agama dan adat. Jika telah sampai pada peringkat ini, baru ibu bapa cuba campur tangan dalam urusan mereka serta mengambil tindakan melarang dan mencegah, maka keadaan sudah terlewat. Gejala-gejala lari dari rumah, terlibat dengan kegiatan-kegiatan anti-sosial seperti penagihan dadah, kahwin lari (elopement), dan sebagainya adalah sebahagian daripada akibatnya, Ini adalah manifestasi wujudnya jurang generasi dalam masyarakat, termasuk masyarakat Melayu.

KESIMPULAN

Sebagai penutup, saya berpendapat sistem nilai kekeluargaan Melayu masih banyak dipertahankan walaupun masyarakat mengalami perubahan pesat yang dibawa oleh teknologi moden. Apa yang berubah atau yang yang dipengaruhi oleh perkembangan  teknologi adalah amalan-amalan baru seperti perancangan keluarga, kelahiran melalui tabung uji (in vitro fertilization), perkahwinan internet, dan sebagainya yang tidak bercanggah dengan agama dan adat. Jika pun terdapat kegiatan non-normatif, ia masih dalam lingkungan yang terkawal. Pihak Kerajaan melalui berbagai-bagai kementeraian, dan agensi termasuk Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kementerain Belia dan Sukan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Agama, Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), Persatuan Ibu-Bapa dan Guru dan lain-lain, sentiasa memantau segala tindakan dan kegiatan anggota masyarakat terutama golongan remaja dari terjerumus ke dalam lembah kehancuran, hidup dalam suasana bebas yang tidak berlandaskan kepada sistem nilai, dan peraturan normatif.

Wallahua’lam

RUJUKAN

  1.  Burges, et.al. 1971. The Family – From Traditional to Companionship. Van Nostrand Reinhold Company. New York.
  2. Djamour, J. 1965. Malay Kinship and Marriage in Singapore. London School of Economics Monographs on Social Anthropology. University of London. The Athlone Press.
  3. Elliot, F.R. 1986. The Family: Change or Continuity? Macmillan Education Ltd. London.
  4. Fletcher, R. 1966. The Family and Marriage in Britain. Penguin Books. Middlesex, England.
  5. Keesing, R. 1975. Kin Groups and Social Structure. Holt, Rinehart and Winston.
  6. Kuo dan Wong  (eds). 1979. Contemporary Family in Singapore. University of Singapore Press
  7. Leslie, G. 1973. The Family in Social Context. Oxford University Press. New York.
  8. Murdock, G.P. 1949. Social Structure. Macmillan Company. New York.
  9. Leslie White. (1959). The Evolution of Cuture. New York.
  10. Ogburn, W.F. 1938. “The Changing Functions of the Family”. The Family 19.
  11. Parsons,  T.,  1977.  “The  Family  in  Urban  America”. Anderson   M.  Sociology  of  the  Family.  Penguin   Books. Middlesex. England.
  12. Ron Restrum. (1991). Technologies and Society: The Shaping of People and Things. Wadsworth Publishing Company. Belmont, California.
  13. Smelser, N.J. (ed). 1970. Sociology: An Introduction. Wiley Eastern Private Ltd. New Delhi.
  14. Strange, H. 1981. Rural Malay Women in Tradition and Transition.  Praeger Publishers. New York.
  15. Winston, Brian. (1995). “ How Far are Media Born and Developed”. D.J. Mohammadi, Ali & Sreberny-Mohammadi, A. (eds). Questioning the Media: A Critical Introduction. 2nd Edition. Thousand Oaks. CA:Sage.
  16. Weber, Max. (1904/1930). The Protestant Ethic and the Spirit of Capitalism. Translated by Talcott Parson. New York: Charles Scribner’s Sons.
  17. Yaacob Harun. 1991. Keluarga Melayu Bandar: Satu Analisis Perubahan. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur 
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.