YAACOB HARUN

Just another WordPress.com weblog

PERSPEKTIF EKONOMI DALAM KELUARGA MELAYU May 24, 2009

Filed under: Uncategorized — yaacob @ 4:54 pm

PERSPEKTIF EKONOMI DALAM KELUARGA MELAYU

Yaacob Harun

_______________________________________________________________

PENDAHULUAN

Aspek ekonomi penting dalam keluarga dan organisasi keluarga. Namun demikian, ia  jarang diketengahkan secara eksplisit dalam  huraian atau perbincangan tentang keluarga. Lazimnya aspek-aspek ekonomi yang berkaitan dengan pekerjaan anggota keluarga, jumlah pendapatan, pola perbelanjaan,  bentuk kediaman, milik harta dan lain-lain hanya diletakkan sebagai latarbelakang dalam kebanyakan laporan kajian baik tentang keluarga atau pun tentang berbagai-bagai aspek kemasyarakatan lain yang dilakukan.

Adalah menjadi tujuan utama kertas kerja ini untuk meninjau  perspektif ekonomi dalam organisasi keluarga Melayu. Pada saya, perkara-perkara yang diperturunkan dalam perbincangan (walaupun bercorak umum, atau dalam dalam aspek-aspek tertentu tidak disertai dengan data-data yang konkrit), secara terselindung adalah memperlihatkan falsafah dan pemikiran  orang Melayu dalam konteks kehidupan keluarga (dari perspektif ekonomi).

Perbincangan dalam kertas ini berkisar kepada persoalan-persoalan berikut:

  1. Keluarga sebagai satu unit ekonomi.
  2. Kerjasama ekonomi di kalangan anggota  keluarga
  3. Pembahagian tugas di kalangan anggota   keluarga.
  4. Dunia keluarga dan dunia kerja.
  5. Kesan perubahan ekonomi ke atas keluarga.

KELUARGA SEBAGAI SATU UNIT EKONOMI

Dalam masyarakat pertanian atau perikanan seperti masyarakat Melayu di sektor luar bandar, keluarga boleh disifatkan sebagai satu unit pengeluaran ekonomi. Semua anggota keluarga yang tinggal bersama sedikit sebanyak turut menyumbang tenaga dalam proses pengeluaran. Satu kajian di Galok, Kelantan, menunjukkan kira-kira 80% tenaga kerja keluarga digunakan dalam kerja menanam, dan 82% digunakan dalam kerja menuai (Kuchiba et.al, 1979).

Jika terdapat anggota keluarga, terutamanya anak-anak  yang bekerja di tempat lain, sumbangan ekonomi mereka  kepada keluarga tetap berlaku. Ini disifatkan sebagai satu tanggungjawab kekeluargaan, dan sebagai satu tanda membalas budi (Roziah Omar, 1994:68) atau jasa baik ibu bapa terhadap mereka hingga sampai ke peringkat mereka boleh berdikari.

Akan tetapi, apabila anak-anak membentuk keluarga sendiri, dan mereka kemudiannya menjadi ibu atau bapak, tumpuan perhatian lebih diberikan kepada keluarga yang mereka bentuk itu  (iaitu keluarga prokreasi mereka). Namun demikian, ini tidak bermakna sumbangan ekonomi kepada ibu bapa akan terhenti selepas mereka berkahwin. Cuma jumlahnya mungkin berkurangan sebab masing-masing mempunyai komitmen keluarga sendiri.

Bagi anak-anak perempuan yang telah berkahwin dan hanya bergantung hidup kepada suami, maka sumbangan ekonomi mereka kepada ibu bapa lebih mengambil bentuk sumbangan tenaga apabila diperlukan. Anak perempuan lebih diharapkan untuk  menjaga serta mengurus makan minum ibu bapa ketika mereka sakit atau dalam keadaan darurat.

Justeru itu, bagi orang Melayu, setiap anggota keluarga disifatkan sebagai resource, dan  kehadiran anak dalam keluarga tidak pernah dianggap sebagai satu beban (liability) walau pun mereka hidup dalam kemiskinan (ekonomi). Anak, iaitu pemberian dari Tuhan disifatkan sebagai rezeki yang patut diterima dengan penuh rasa kesyukuran. Lebih banyak anak, lebih banyak rezeki (Roziah Omar, Ibid: 68). Jika tidak kaya harta benda, kaya anak pun adalah satu rahmat. Pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak akan menghadapi tekanan dan keharmonian keluarga mereka mungkin akan terjejas.

Pada pendapat saya, kadar kelahiran yang secara relatifnya tinggi di kalangan orang Melayu (kira-kira 4%) ada kaitan rapat dengan falsafah hidup mereka ini. Oleh sebab itu, perancangan keluarga dengan menggunakan kaedah moden bukan menjadi satu amalan yang meluas di kalangan orang Melayu, kecuali bagi sebilangan wanita kerjaya yang terpaksa akur kepada tuntutan-tuntutan pekerjaan mereka.

KERJASAMA EKONOMI DI KALANGAN ANGGOTA KELUARGA

Kerjasama ekonomi dalam keluarga berkait rapat dengan perkara pertama yang dibincangkan di atas. Apabila keluarga bertindak sebagai satu unit ekonomi, persoalan individu dan kepentingan individu tidak timbul. Jika tugas ekonomi dijalankan bersama oleh anggota keluarga , maka pendapatan serta hasil lain yang diperolehi juga menjadi milik bersama.

Dalam organisasi keluarga Melayu, isteri dan anak-anak yang turut terlibat dalam pekerjaan membantu suami/bapa tidak dibayar upah seperti yang dibayar kepada orang lain. Ganjaran yang diterima oleh isteri dan anak-anak ialah dalam bentuk makanan, pakaian dan sedikit wang saku jika perlu. Segala perbelanjaan keluarga diambil dari sumber yang sama (common pool).

Perkahwinan ialah satu perkongsian hidup di antara pasangan suami isteri. Dengan demikian, susah dan senang dikongsi bersama. Suami menjadi tempat pergantungan isteri dan anak-anak dari segi nafkah hidup, dan isteri pula menjadi tempat pergantungan suami dan juga anak-anak dari segi tugas-tugas rumah tangga. Sifat saling bergantungan (ekonomi) ini menjadikan keluarga itu satu unit yang padu dan integral.

Kajian-kajian awal oleh Firth (1966) dan Djamour (1965) menunjukkan bahawa, dalam organisasi keluarga Melayu, walau pun suami menjadi pencari nafkah utama keluarga, isteri pula bertindak sebagai “banker” yang mengatur perbelanjaan keluarga. Pertengkaran keluarga akan berlaku jika suami cuba menipu isteri dengan menyimpan sebahagian daripada pendapatan  harian beliau untuk kepentingan peribadi.

Dalam masyarakat Melayu, segala harta yang diperolehi selepas berkahwin yang disebut harta sepencarian adalah menjadi milik bersama pasangan suami isteri. Jika mereka bercerai, harta sepencaraian itu akan dibahagikan sama banyak. Ini menandakan bahawa suami dan isteri Melayu  mempunyai hak ekonomi yang sama, ekoran daripada prinsip kerjasama ekonomi yang dibincangkan.

Sesuatu keluarga luas terdiri daripada keluarga ibu bapa dan keluarga anak-anak yang telah berkahwin, jika semuanya tinggal bersama di bawah satu bumbung akan tetap berkongsi perbelanjaan (sharing a common budget). Dalam keluarga luas Melayu seperti ini, tidak wujud “dapur” yang berbeza di antara keluarga ibu bapa dan keluarga anak-anak.

Jika pun anak-anak tinggal berasingan dalam isurumah sendiri tetapi berdekatan dengan isirumah ibu bapa, kerjasama ekonomi masih wujud di kalangan mereka. Tindakan untuk tinggal berasingan bukan disebabkan oleh beban perbelanjaan tetapi lebih disebabkan oleh tujuan  untuk mendapat “privacy” kerana seperti diketahui umum,  bentuk rumah orang Melayu di kawasan luar bandar tidak mempunyai sekatan atau bilik yang khusus untuk setiap anggota keluarga.

Persoalan kerjasama ekonomi ini bukan sahaja wujud di kalangan anggota keluarga terdekat, tetapi juga di kalangan sanak saudara. Memberi pertolongan dan bantuan dalam bentuk tenaga, perkhidmatan, malah dalam bentuk wang kepada sanak saudara yang betul-betul memerlukan bukan sahaja menjadi tuntutan keagamaan, malah adalah satu obligasi kekeluargaan yang tidak boleh diabaikan. Segala bantuan tenaga atau  perkhidmatan yang diberi kepada kaum keluarga  atau yang diterima daripada mereka ini tidak dinilai dari segi ringgit dan sen. Malah, banyak perkhidmatan itu percuma yang diberi atau yang diterima atas dasar rasa tannggungjawab ekoran daripada ikatan emosi dan sentimen yang wujud di kalangan mereka.

PEMBAHAGIAN KERJA DI KALANGAN ANGGOTA KELUARGA

Seperti yang telah dinayatakan, kegiatan ekonomi  dalam di  kalangan  orang  Melayu di kawasan  luar  bandar  banyak bergantung  kepada tenaga kerja keluarga. Justeru itu,  kaum lelaki  dan juga perempuan sama-sama terlibat  dalam  sektor pekerjaan.  Akan  tetapi peratusan penglibatan  kaum  lelaki adalah  lebih  tinggi,  iaitu  kira-kira  64%  dalam  bidang pertanian  berbanding dengan kira-kira 36% bagi kaum  wanita dalam  pekerjaan  yang sama. Penglibatan kaum  wanita  dalam bidang  perikanan  kurang  daripada  2%,  berbanding  dengan penglibatan kaum lelaki yang melebihi 98%. (Laporan Am Banci Penduduk, 1980). Tugas mereka yang  lebih  asasi  ialah menjadi pengurus rumah tangga.

Jika isteri membantu, mereka jarang menjalankan  kerja-kerja berat seperti menebang, menebas, membajak sawah,  membanting padi,  mengangkut  hasil, menangkap ikan  di  laut,  membuat perahu,   bertukang  kayu,  membuat  alat   pertanian,   dan berbagai-bagai tugas berat lain. Kaum wanita lebih  terlibat dalam  kerja-kerja  ringan  yang  tidak  banyak  menggunakan tenaga fizikal seperti mencabut anak semaian, menampi  padi, menjemur padi, atau menabur padi semaian. (Kim, 1982).

Pembahagian  tugas ekonomi baik di dalam atau  di  luar keluarga  berdasarkan  faktor jantina dan  faktor  keupayaan fizikal  di mana lelaki dikehendaki menjalankan  kerja  yang lebih  berat  adalah  selaras  dengan  sistem  nilai   dalam masyarakat  Melayu. Mengikut sistem nilai  dalam  masyarakat Melayu,  imej kelelakian (masculinity) seseorang suami  akan terjejas,  dan beliau dikatakan seorang yang “lembut”,  atau lebih  buruk, dituduh sebagai seorang yang “hidup  di  bawah telunjuk  isteri”, jika selalu melakukan kerja  yang  khusus dihubungkan dengan kaum wanita. Seseorang  wanita  yang  “kasar”  lazimnya   akan menjadi bahan percakapan masyarakat.

Dalam keadaan yang berubah, didapati kaum wanita Melayu kini  yang mencapai taraf pendidikan yang  setanding  dengan kaum lelaki turut terlibat secara aktif dalam pasaran  buruh menjalankan pekerjaan yang berbagai-bagai di luar  keluarga. Pekerjaan seperti  guru,  juru  teringkas/juru  taip,  pemasang   alat letrik,  pembantu  rumah,  pekerja  perubatan,  dan  pembuat tirai/jahitan   adalah  lebih  sesuai  untuk  kaum   wanita. Sementara itu, pekerjaan lain dalam yang lebih “berat”  masih menjadi monopoli kaum lelaki.

DUNIA KELUARGA DAN DUNIA KERJA

Pembahagian tugas di kalangan anggota keluarga Melayu seperti yang dibincangkan di atas adalah selaras dengan sistem nilai dalam masyarakat Melayu itu sendiri yang berteraskan agama dan adat. Perubahan pesat yang berlaku kini memberi kesan kepada peranan yang dijalankan oleh anggota keluarga tersebut, terutamanya ke atas peranan kahwinan (conjugal roles), baik dalam dunia keluarga (family domain) atau pun dalam dunia kerja (work domain). Pada masa ini ramai wanita Melayu (para isteri) terlibat dalam pasaran buruh. Mereka  menjalankan berbagai-bagai pekerjaan di luar keluarga, yang pada satu masa dulu menjadi monopoli kaum lelaki.

Pada hakikatnya, wanita kerjaya ini berada dalam satu dilema. Mereka  berhadapan dengan dua persoalan pokok, iaitu kerjaya (career) dan keluarga (family). Untuk betul-betul berjaya dalam pekerjaan  mereka terpaksa mengenepikan beberapa tuntutan keluarga. Begitu sebaliknya, jika masih kuat ditarik oleh tuntutan keluarga, iaitu tuntutan untuk bertindak sebagai isteri, ibu dan sebagai pengurus rumahtangga dalam ertikata yang sebenarnya, maka beberapa tuntutan pekerjaan terpaksa dikorbankan. Sebagai manusia biasa, adalah sukar bagi mereka untuk  memenuhi sekaligus kedua-dua tuntutan kerjaya dan juga tuntutan keluarga tersebut. Pendapat   yang mengatakan, “the attempt to combine motherhood with paid employment presents women with intense overload dilemmas and conflicts of loyalty and commitment and may involve considerable and mental stress” (Rapoport, 1976), memang ada asas-asas kebenaranya.

Kadar perubahan peranan lelaki (suami)  dari dunia kerja kepada dua keluarga adalah lebih lambat  jika dibandingkan dengan kadar perubahan peranan wanita dari dunia keluarga kepada dunia kerja (Rapoport, 1976)  Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh sistem nilai dan persepsi masyarakat yang lambat berubah selaras dengan perubahan masa. Walau pun pada masa ini dikatakan wujud keluarga symmetrical (Young & Willmott, 1975) di mana suami dan isteri sama-sama terlibat dalam dunia kerja dan dunia keluarga, tetapi beban kerja,  khususnya dalam dunia keluarga masih berat sebelah, iaitu lebih banyak dipikul  oleh isteri (Tomeh, 1983).

Atas hakikat ini, maka ada wanita yang ingin berjaya dalam dunia kerjaya tidak akan berkahwin kerana perkahwinan akan memberi tekanan-tekanan tertentu yang sukar hendak dipenuhi. Satu kajian yang dilakukan oleh Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN)  pada  tahun 1991 menunjukkan kira-kira 60,000 wanita kerjaya Melayu dalam lingkungan umur 30 tahun masih membujang, 10% daripada mereka berumur  antara 30-34 tahun.

Satu kajian lain yang dilakukan oleh Abdul Hamid Arshad (1988) menunjukkan  44.1% daripada  943 wanita Melayu yang ditemui berhenti kerja atas desakan atau  kehendak  suami. 26.7% berbuat demikian atas alasan urusan  keluarga, dan 10.5% berhenti kerja kerana tekanan menjaga anak.

Pada hakikatnya penglibatan para isteri yang berterusan dalam pasaran buruh selepas berkahwin adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Kajian saya  (1991:98)  menunjukkan sebilangan daripada para isteri kelas bawahan Melayu  yang berkerja memberi lebih daripada satu sebab mereka berbuat demikian. Antaranya ialah ingin menambahkan pendapatan keluarga (61%), meneruskan pekerjaan yang dilakukan semasa bujang (36%), ingin mendapat pendapatan sendiri (30%) , bosan tinggal di rumah (18%), dan ingin mendapat kenalan (15%).

Jika ramai berkerja kerana ingin menambah pendapatan keluarga atau  membantu suami dalam menghadapi tekanan ekonomi, saya percaya jika sesebuah keluarga itu berada dalam kedudukan ekonomi yang stabil, maka si isteri akan memilih untuk tidak berkerja dan menumpukan seluruh perhatian kepada dunia keluarga, terutamanya pada masa anak-anak masih kecil yang memerlukan penuh perhatian dari seorang ibu. Sebenarnya runtunan ekonomi menjadi penyebab utama  wujud  berbagai-bagai unsur serakberai dalam keluarga, termasuk keluarga Melayu sendiri.

KESAN PERUBAHAN EKONOMI KE ATAS KELUARGA

Secara tidak  langsung sebahagian daripada perubahan ini telah  pun dibincangkan di atas. Walau bagaimanapun, sebagai menyingkap kembali,   berikut  diperturunkan  beberapa   kesan   ketara perubahan ekonomi ke atas keluarga Melayu.

Pertama, perubahan  ekonomi  (kapitalis)   menyebabkan golongan wanita (isteri) terlibat secara aktif dalam pasaran buruh. Dengan menjalankan pekerjaan di luar keluarga seiring dengan kaum lelaki (suami), mereka tidak lagi secara  khusus boleh    dihubungkan  dengan  menjalankan  peranan   tradisi sebagai  “homemaker”.  Dalam keadaan  yang  berubah,  mereka sama-sama  menjadi pencari nafkah keluarga. Malah, ada  yang berpendapatan lebih tinggi daripada suami.

Penglibatan kaum wanita dalam bidang pekerjaan, membawa kepada  keadaan di mana mereka tidak lagi bergantung  kepada suami  dari  segi  ekonomi. Kebebasan  ekonomi  yang  mereka perolehi  serta  sumbangan ekonomi (dari  segi  perbelanjaan keluarga)  meletakkan mereka pada satu kedudukan yang  lebih penting  dalam  keluarga. Suara mereka dalam  keluarga  juga bertambah. Tekanan atau sifat dominan suami sedikit sebanyak dapat  dikurangkan  dengan  “senjata  ekonomi”  yang  mereka perolehi ini.

Apabila   suami  dan  isteri  berkerja,   dan   apabila sebahagian  besar daripada masa siang  dihabiskan  di luar  keluarga, maka urusan rumah tangga termasuk  penjagaan anak  terpaksa  diserahkan  kepada  “orang  lain”  (domestic servant).   Dengan  demikian,  wujud  tenaga  upahan   dalam keluarga yang pada satu masa dulu bukan menjadi kelaziman.

Apabila  anggota  keluarga   menjalankan pekerjaan  yang  berbagai-bagai,  kerjasama  ekonomi   dalam bidang pekerjaan tidak lagi berlaku. Malah, suami dan isteri pun tidak boleh saling bantu membantu.

Pendapatan  yang  diperolehi  dalam  bidang   pekerjaan akibat latihan, kemahiran dan taraf pendidikan yang  berbeza di kalangan anggota keluarga (terutamanya  di kalangan anak-anak)  menyebabkan mereka menduduki taraf sosial atau  kelas sosial yang juga berbeza apabila mereka membentuk keluarga  sendiri kemudian.  Perbezaan  kedudukan ekonomi ini  membawa  kepada “kerenggangan”  perhubungan  kekeluargaan.  Corak  kehidupan keluarga,  peluang hidup (life chances)  masing-masing  juga berbeza.  Ada yang lebih berjaya, ada yang  kurang  berjaya, malah ada yang tidak berjaya langsung.

_______________________________

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s