YAACOB HARUN

Just another WordPress.com weblog

MANIFESTASI KOSMOLOGI DALAM ORGANISASI KELUARGA MELAYU May 24, 2009

Filed under: Uncategorized — yaacob @ 5:14 pm

MANIFESTASI KOSMOLOGI DALAM ORGANISASI KEKELUARGAAN MELAYU

Yaacob Harun

__________________________________________________

PENGENALAN

Makalah ini pada  asasnya akan  membincangkan manifestasi kosmologi dalam organisasi kekeluargaan  Melayu. Jika kosmologi itu ditakrifkan sebagai, “kerangka konsep dan perhubungan  yang  diwujudkan oleh  manusia  untuk  memenuhi beberapa  runtunan  emosi dan intelek, dengan  tujuan  untuk membawa  “order” kepada alam semesta termasuk  diri  manusia itu  sendiri  sebagai salah satu  daripada  unsur-unsurnya”,  maka “order” dalam kehidupan keluarga itu adalah  sebahagian daripada manifestasi kosmologi.

Pada  umumnya,  “order” dalam masyarakat  dilihat  dari segi  sejauhmana manusia sebagai salah satu daripada  unsur-unsur  alam  (microcosmos) dapat  menyesuaikan  diri  dengan unsur-unsur alam yang lain. Jadi, dalam konteks kertas  ini, beberapa  tanggapan  masyarakat Melayu  terhadap  alam  yang diterjemahkan  melalui  hubungan  unsur-unsur  alam   dengan kehidupan keluarga Melayu, akan dibincangkan.

Unsur-unsur   alam   ini   terjelma   dalam   kata-kata perbilangan,  pepatah, perumpamaan dan  sebagainya.  Apabila orang  Melayu membuat analogi aspek-aspek  kehidupan  mereka dengan  kejadian-kejadian  alam, mereka  sebenarnya  membuat tafsiran  tentang  kejadian dan  unsur-unsur  alam  tersebut untuk  dijadikan  teladan dan sempadan  dalam  hidup.  Kalau “order” wujud dalam kejadian dan unsur-unsur alam itu,  maka keadaan  yang  sama dipercayai akan  wujud  dalam  kehidupan sosial termasuk dalam bidang kekeluargaan yang menjadi fokus perbincangan di sini.

KEKELUARGAAN MELAYU

Setiap  orang  ada asal usulnya, ada keluarga  dan  ada kampung  halamannya,  bak kata pepatah, “mana  sungai  tiada berhulu”.  Kekeluargaan menjadi asas hidup  –  perlindungan, ketenteraman,  tempat  mengadu  hal,  tempat  meminta  nasi, tempat  meminta air, dan tempat mengadu sakit pening.  Tanpa keluarga jadilah mereka orang yang sunyi.

Dalam  masyarakat  Melayu telah menjadi  satu  tanggung jawab  moral  dan  juga  satu  tuntutan  keagamaan  menolong anggota  keluarga dan sanak saudara, terutama  sekali  dalam keadaan  darurat. Ini selaras dengan Firman yang  bermaksud, “Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa,  dan   kaum  kerabat”.   Jadi,  sebagai  penganut  Islam,  tuntutan keagamaan   seperti   ini,   tidak   dapat   tidak,    mesti dilaksanakan.

Walau pun seseorang itu hidup berjauhan dari  keluarga, tetapi jarak fizikal tidak dapat memutuskan ikatan emosi dan sentimen yang sedia terjalin. Malah, dengan hidup  berjauhan pergeseran  keluarga dapat dihindarkan dan dengan  demikian, kasih sayang akan menjadi kuat, seperti kata pepatah Melayu, “dekat-dekat bau tahi, jauh-juah bau bunga”.

Perpisahan  dengan  keluarga  adalah  perpisahan   yang sementara,  kerana  lambat laun mereka akan  bertemu  semula seperti  kata pepatah, “sejauhmana seluang melaut,  akhirnya ke  tepian  juga’, dan “setinggi-tinggi  terbangnya  bangau, akhirnya ke belakang kerbau juga”. Amalan balik kampung yang berlaku  di kalangan orang Melayu pada musim-musim  perayaan adalah petanda yang jelas tentang fenomina yang diperkatakan ini.  Bagi orang Melayu, kesenangan dan kemewahan  hidup  di tempat  orang  tidak sama dengan kerukunan hidup  di  tempat sendiri yang dikelilingi oleh sanak saudara dan kaum kerabat seperti  terjelas dalam pepatah yang  berbunyi, “hujan  emas di  negeri orang, hujan batu di negeri sendiri,  lebih  baik negeri sendiri.”

Akan tetapi, pergeseran dan konflik  keluarga  ini tidak  sampai  menjejaskan hubungan  darah,  iaitu  hubungan semula  jadi  yang sedia wujud. Ini diibaratkan  oleh  orang Melayu   sebagai,  “carik-carik  bulu  ayam,   lembat   laun bertangkup  semula”,  “cincang air tidak  akan  putus”,  dan “biduk lalu, kiambang bertaut”.

Perbalahan keluarga  tidak  sampai ke peringkat di mana  hubungan  akan terus  terputus, atau tidak sampai ke  peringkat,  “berpatah arang  berkerat  rotan”. Ini kerana  hubungan  darah  adalah hubungan  sejadi. Pepatah Melayu mengatakan,  “sebusuk-busuk daging, dibasuh, dikincah, di makan jua”, dan “air sama  air menjadi satu, sampah ke tepian jua”.

Kalau seseorang itu disakiti,  atau  diiniaya, maka  seluruh anggota keluarga akan turut merasai sakit  dan teriniaya,  kerana  keluarga  difatkan  sebagai  satu  badan (organism).  Jika  dicubit paha kanan paha  kiri  pun  akan terasa”. 

PEMBENTUKAN KELUARGA DALAM MASYARAKAT MELAYU

Sesebuah  keluarga  yang stabil  adalah  keluarga  yang wujud atas landasan yang kuat, dan dalam masyarakat  Melayu, ia bersandarkan kepada kedua-dua tonggak utama, iaitu  agama dan  adat. Namun demikian, proses pembentukan  keluarga  itu sendiri,  memerlukan banyak perhitungan.  Pertama,  pasangan suami  isteri yang menjadi pengasas satu-satu  keluarga  itu mestilah  mempunyai  kesesuaian peribadi  antara  satu  sama lain.

Kaedah-kaedah  seperti tilikan,  firasat,  mencari  rasi,   dan  sebagainya  adalah menjadi amalan. Telah   menjadi kepercayaan  dalam  masyarakat Melayu, bahawa  setiap  unsur alam yang disebutkan itu masing-masing mempunyai  signifikan dalam mencorak serta merencanakan perlakuan, sifat peribadi, dan nasib manusia. Dengan demikian, “order” dalam  kehidupan keluarga  dapat  direncana dan diwujudkan  jika  sifat-sifat bagi setiap unsur yang dimaksudkan itu dapat digabung dengan baik.

Pasangan  yang  serasi dipercayai ialah  pasangan  yang tidak   memperlihatkan   pertentangan   unsur   alam    yang dihubungkan  dengan diri masing-masing. Salah satu  daripada kaedah-kaedah  yang  digunakan  ialah  dengan  cara  mengira urutan  kelahiran, sama ada pasangan itu anak  sulung,  anak tengah,  atau  anak bongsu. Setiap urutan  disamakan  dengan salah  satu  daripada empat unsur alam  yang  dinyatakan  di atas.   Anak sulung dihubungkan dengan “tanah”,  anak  kedua dengan  “air”,  anak ketiga dengan “api”  dan  anak  keempat dihubungkan  dengan “angin”. Jika lelaki anak  yang  pertama dijodohkan  dengan perempuan anak yang kedua, maka  cantuman “tanah  dan  air” adalah baik, tetapi  cantuman  “api-angin” adalah berbahaya, dan dipercayai akan membawa bencana  dalam keluarga yang bakal dibentuk. Akan tetapi,  ”        ” (Zakaria) yang mempunyai 5 huruf  dan  ”      ” (Fatimah) yang juga mempunyai 5 huruf adalah serasi kerana  huruf  akhir  pada  nama kedua-duanya  jatuh  pada  “tanah”. Cantuman “tanah dengan tanah” adalah cantuman yang baik, dan pasangan  suami isteri dipercayai akan sentiasa  bermuafakat antara satu sama lain.

Selain  daripada  melihat  kesesuaian  peribadi  antara bakal suami isteri dengan cara mencari rasi yang dihubungkan dengan unsur-unsur alam, upacara merisik dan menengok  bakal calon isteri juga dihubungkan dengan beberapa petanda,  juga ada  kaitannya  dengan  unsur  alam.  Jika  terjumpa  biawak melintas  jalan  ketika  hendak keluar  untuk  merisik  atau menengok,  maka  itu  satu  petanda  yang  buruk  yang  akan menimbulkan  halangan-halangan tertentu. Begitu juga  semasa pergi  menengok gadis, jika beliau sedang memasak, maka  itu satu  petanda  yang  tidak baik, kerana API  itu  panas  dan berbahaya.  Tetapi jika gadis sedang mandi, maka itu  adalah petanda yang baik kerana AIR adalah sejuk.

Unsur-unsur alam yang dihubungkan dengan diri  manusia, kejadian, dan perlakuan yang dapat dilihat dan dikesan  ini, adalah ditafsirkan sedemikian rupa bagi mengelak dari timbul keraguan dan kebimbangan apabila pasangan itu berkahwin  dan membentuk  keluarga  sendiri. Jika  “order”  dalam  keluarga dipentingkan,   maka  tindakan  mestilah   menjurus   kepada matlamat untuk mewujudkan “order” tersebut.

Bagi  orang Melayu, jodoh yang sesuai akan  menjaminkan kehidupan  keluarga  yang stabil. Alam rumah  tangga  adalah penuh  dengan cabaran dan tanggung jawab yang mesti  dipikul bersama  oleh  kedua-dua  pasangan  suami  isteri  tersebut, seperti  kata  pepatah, “Terlentang bersama  menadah  embun, tertiarap bersama memakan pasir”. 

Walau  pun  jodoh itu di tangan  Tuhan,  manusia  perlu mencari  jodohnya.  Dalam  usaha  mencari  jodoh  ini,  ilmu pengasih  sering digunakan oleh orang Melayu. Selain  bacaan ayat-ayat Quraan dan jampi serapah, ilmu ini juga melibatkan penggunaan bahan-bahan seperti bunga, batang-batang dan akar kayu.  Bahan-bahan  dari  alam ini  diadun  untuk  dijadikan minyak  pengasih,  dan si pemakainya  akan  dikasihi  orang, terutama  sekali kalau pemakaiannya khusus  bertujuan  untuk memikat seseorang gadis atau teruna.

Bacaan ayat-ayat Quraan dan jampi serapah adalah  untuk memohon  kepada  Tuhan supaya  gadis/teruna  idaman,  senang dipikat.  Membaca  jampi misalnya,  diikuti  dengan  amalan-amalan tertentu dengan menggunakan alat-alat tertentu  pula. Satu  contohnya  ialah, jampi “cahaya anak  bidadari”,  yang berbunyi seperti berikut:

“Hei  air sang mak bon; aku nak siram cahaya berinai;  tubuh aku  bercahaya-cahaya, mesti rupa anak bidadari;  aku  pakai cahaya   anak  bidadari;  cahaya  Muhammad,   cahaya   sinar Rasulullah;  dari berkat doa,  Lailahaillallah,  Muhammadur-rasullah”.

Jampi ini mesti dibaca semasa mandi di perigi pada hari Selasa  di waktu matahari betul-betul tegak di atas  kepala. Setelah air dicedok dari perigi dengan timba, seseorang  itu mesti  melihat mukanya ke dalam air tersebut sambil  membaca jampi serapah di atas. Kemudian, air tadi dituang dari  atas kepala  hingga ke kaki. Perkara ini diulang  sebanyak  tujuh kali.  Jika ilmu ini menjadi, si pengamalnya akan  mempunyai “cahaya  anak bidadari”, dan dengan demikian, adalah  senang baginya untuk memikat gadis/teruna.

Berkaitan  dengan jodoh ini,  timbul  ungkapan-ungkapan seperti, “ringan jodoh”, “berat jodoh”, “tak ada jodoh”, dan sebagainya.  Bagi ibu bapa, beban untuk menjaga  anak  gadis yang  telah  meningkat dewasa akan terlepas  setelah  beliau dikahwinkan, kerana “menjaga anak gadis seorang, lebih sukar daripada  menjaga kerbau sekandang”. Ini kerana  anak  gadis yang telah dinodai akan membawa malu kepada keluarga, ibarat “kelapa  sudah ditebuk tupai”, sukar sekali hendak  dipinang orang.

Justeru  itu, ibu bapa sangat mengambil  berat  tentang jodoh  anak gadis mereka. Adalah menjadi  kepercayaan  orang Melayu, jika uri anak perempuan yang baru lahir itu  ditanam di  hadapan  rumah,  maka anak  perempuan  itu  akan  ringan jodohnya  kelak, kerana “kembangnya bunga di  taman,  baunya merebak ke mana-mana”.

Jika  bertindak demikian,  ia  dikatakan seperti,  “perigi  mencari  timba”, “ulam mencari sambal” atau “lesung mencari alu”. Pembentukan sesebuah keluarga yang stabil, bukan sahaja mementingkan  kesesuaian  peribadi  antara  pasangan   suami isteri,  tetapi  juga faktor-faktor lain  seperti  kedudukan ekonomi  dan  taraf sosial. Jika pasangan  itu  datang  dari latar  belakang  keluarga yang berbeza,  mereka  diibaratkan sebagai, “bersunting bunga keduduk, berdiri tak sama tinggi, duduk  tak  sama rendah”, “seperti  pipit  berkahwin  dengan enggang”,  atau “seperti tebuan meminang anak  labah-labah”. Jadi,  perkahwinan  di antara pasangan yang sama  taraf  dan kedudukan sosialnya, iaitu, “pipit sama pipit, enggang  sama enggang”,   dipercayai  akan  membawa   kepada   pembentukan keluarga yang lebih mantap dan stabil. 

PROSES SOSIALISASI

Perkahwinan   tanpa mendapat anak adalah satu mala petaka yang akan  menimbulkan bibit-bibit serakberai dalam keluarga. Dalam   masyarakat   Melayu,   kemandulan   menimbulkan berbagai-bagai  tanda tanya. Adakah si suami  “mati  pucuk”, yang  diibaratkan  sebagai  pokok, satu  unsur  alam,   yang kematian  pucuknya,  atau isteri sebagai  “rambutan  jantan, yang  hanya berbunga tetapi tidak berbuah”.  Jadi,  sebutan-sebutan  seperti  “mati pucuk”, dan “rambutan  jantan”  yang ditujukan  kepada  pasangan suami isteri,  walau  pun  tidak secara berdepan (direct), adalah sesuatu yang memalukan.

Oleh  itu,  didapati dalam majlis  perkahwinan  Melayu, bunga telor yang melambangkan kesuburan dan kelahiran, tidak pernah  ditinggalkan  hingga ke hari  ini,  cuma  gubahannya sahaja  yang berubah. Telor putih (lambang  lelaki)  apabila digabungkan   dengan   telor  kuning   (lambang   perempuan) dipercayai  akan membawa kesuburan dan kelahiran  anak  yang ramai.

Adalah dipercayai bahawa sebarang perbuatan  yang dilakukan  semasa mengandung oleh kedua-dua  pasangan  suami isteri akan memberi kesan kepada anak yang dilahirkan nanti. Jika  membunuh  atau mencederakan binatang, anak  yang  akan dilahirkan  itu dipercayai akan meninggal dunia  atau  tidak mempunyai  sifat fizikal yang sempurna. Malah, jika  seorang yang  buruk perangainya berlalu di belakang ibu,  anak  yang akan dilahirkan itu dipercayai akan mendapat mendapat  sifat peribadi yang buruk itu.

Mematuhi  pantang larang dan menyesuaikan  diri  dengan unsur-unsur alam yang dapat dikesan pada peringkat kelahiran anak,  tidak  lain,  melainkan  bertujuan  untuk  mewujudkan hubungan  yang  harmonis dengan  unsur-unsur  tersebut  yang kemudiannya   akan  membawa  “order”  dalam   keluarga   dan masyarakat. Pada zaman dulu, apabila anak dilahirkan, urinya ditanam bersama-sama sebatang pohon (misalnya pohon kelapa). Mengikut  kepercayaan orang Melayu, anak itu  akan  membesar selaras dengan suburnya pohon kelapa tersebut. Umur anak itu juga   akan   dikaitkan  dengan  umur  pohon   kelapa   yang dimaksudkan.

Orang  Melayu (pada zaman dulu) sering  mengambil  nama unsur-unsur alam bagi menamakan anak-anak mereka.  Nama-nama seperti   Melor, Melati Seroja, Cempaka, dan Kenanga  adalah jelas  diambil  dari  nama-nama  bunga.  Nama-nama   seperti Ithnin,  Khamis,  Jumaat, dan Sabtu diambil dari  nama  hari anak  itu dilahirkan. Begitu juga dengan  nama-nama  seperti Hitam,  Putih,  Bulan,  Embun, semuanya  ada  kaitan  dengan unsur-unsur alam. Inilah manifestasi kosmologi.

Begitu  juga  dalam  usaha  mendidik  anak-anak,  orang Melayu   menggunakan   berbagai-bagai   kata   pepatah   dan perbilangan  sebagai panduan. Pepatah dan  perbilangan  ini, seperti  yang telah dinyatakan, adalah  dicipta  berdasarkan kepada  kejadian dan keadaan alam yang dilihat  dan  dialami dalam kehidupan seharian.

Perangai  dan  sifat peribadi  anak-anak  yang  selaras dengan peraturan kemasyarakatan,  perlu dibentuk dan dicanai oleh  ibu  bapa semasa mereka masih kecil.  Anak-anak  kecil diibaratkan  sebagai  rebung  atau  buluh  muda  yang  boleh dilentur  dengan mudah, tetapi jika sudah menjadi  aur  atau buluh yang keras, maka sukar sekali untuk dibentuk  mengikut arah yang diingini.

Sehubung  dengan  itu, adalah  juga  dipercayai  bahawa perangai  dan  sifat peribadi ibu bapa akan  menjadi  ikutan kepada anak-anak. Jika ibu bapa tidak menukar perangai buruk mereka,  anak-anak  akan  turut  bertindak  dan  berkelakuan seperti  ibu bapa tersebut, kerana orang Melayu  mengatakan,  mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi”, “bapa borek, anak rintik”,  “apa benihnya, itulah tumbuhnya”,  “seperti  ketam menyuruh  anaknya berjalan betul”, dan “kalau  bapa  kencing berdiri, anak akan kencing berlari”.

Walau  pun  anak-anak   dididik   seperti “menatang  minyak yang penuh”, tetapi ibu  bapa  dikehendaki mengikut kaedah ayam yang mematuk anaknya”. Tujuannya  bukan untuk   menyakiti   anak-anak  itu,   tetapi   menegor   dan membetulkan kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh  mereka. Pepatah   Melayu  yang  berbunyi,  “sayangkan  anak   pukul-pukulkan”,    adalah  lahir  daripada   pengalaman   melihat kejadian dan unsur-unsur alam di sekeliling mereka.

Anak-anak  dan anggota  keluarga dilarang untuk melakukan  sesuatu  perkara yang  terkutuk, yang salah pada agama, dan juga  yang  salah pada adat. Melakukan perbuatan terkutuk diibaratkan sebagai, “menconteng  arang  ke muka ibu bapa” dan  seluruh  keluarga akan  mendapat  malu,  kerana  pepatah  Melayu   mengatakan, “seekor  kerbau membawa lumpur, habis semua  terpalit”,  dan “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”. 

JALINAN HUBUNGAN KEKELUARGAAN

Dalam  keluarga Melayu, anggota-anggotanya  berhubungan mengikut satu pola yang tetap yang diisbatkan oleh agama dan adat.  Ini  mempunyai hubungan rapat dengan  sistem  hormat, adab  dan  tata susila, hak dan autoriti  kekeluargaan,  dan jangkaan  peranan.  Tingkah laku kekeluargaan  yang  berpola (patterned kin behaviour) seperti yang dimaksudkan ini  akan membawa  kepada  kestabilan, bukan  sahaja  kepada  keluarga sebagai  unit  sosial yang utama, tetapi  kepada  masyarakat keseluruhannya. Faktor-faktor utama seperti umur dan jantina adalah  menjadi  asas-asas  pembentukan  tingkah  laku  yang berpola ini.

Dalam  organisasi kekeluargaan  Melayu,  wujud  seolah-olah  satu jarak sosial di antara  anggota-anggota  keluarga atas dasar umur. Orang dewasa (orang tua-tua) pada peringkat generasi  bapa, datuk dan seterusnya ke atas, adalah  orang-orang  yang dihormati, malah ditakuti oleh orang  muda.  Ini kerana  “orang  tua-tua lebih dahulu  makan  garam  daripada orang-orang muda”.

Antara   pola-pola   perlakuan  dan   ketetapan   dalam perhubungan  di  antara   orang tua-tua  dengan  orang  muda termasuk:  orang  muda (terutama sekali  kanak-kanak)  tidak boleh  mencampuri  urusan  orang  dewasa;  apabila  bercakap dengan  orang  tua-tua mesti menggunakan  bahasa  percakapan yang  halus,  dan nada suara yang  rendah;  semasa  bercakap tidak  boleh berdiri sekiranya orang tua-tua  sedang  duduk, dan kaki tidak boleh menghadap ke arah muka mereka;  apabila berlalu  di  depan orang tua-tua mesti tundukkan  badan  dan kepala;  apabila  bertemu muka, orang  muda  mesti  terlebih dahulu menegor atau menyapa orang tua-tua. Selian itu, cakap orang  tua  tidak boleh dibantah, terutama sekali  dari  ibu bapa. Menderhaka kepada ibu bapa adalah suatu perbuatan yang terkutuk yang tidak akan mendapat balasan Syurga.

Antara alasan kenapa  orang-orang muda tidak dibenarkan mencampuri  urusan  orang tua-tua  ialah,  orang-orang  muda diibaratkan sebagai, “umur baru setahun jagung”, dan  “ubun-ubun  masih  lembut/bau cakur jerangau masih  ada  di  ubun-ubun”.  Kalau masih turut campur, mereka dikatakan,  “baharu belajar duduk lepang, sudah hendak memanjat tiang”,  “baharu keluar dari terubung, sudah hendak terbang” atau ayam  baru belajar  berkokok”,  itu tidak ubah  seperti,  “kelapa  muda tidak berminyak”.

Ini menandakan  masyarakat Melayu sangat mementingkan  adab  dan susila. Orang muda yang belum matang dan belum berpengalaman dalam  menharungi  liku-liku hidup  sudah  semestinya  tidak boleh  meletakkan  diri mereka pada taraf yang  sama  dengan taraf  ibu  bapa dan saudara mara yang  lebih  tua  daripada mereka. Jika tidak, sistem hormat tidak dapat berfungsi, dan kehidupan keluarga akan menjadi kucar kacir.

Berkenaan   dengan  faktor  jantina,   didapati   dalam organisasi keluarga Melayu,  orang lelaki diberi  kedudukan, hak  dan  kuasa yang lebih tinggi daripada  kedudukan  orang perempuan.  Bapa lebih berkuasa dan lebih ditakuti  daripada ibu,  abang  lebih dihormati daripada  kakak,  isteri  mesti mematuhi  suami,  dan suami pula tidak boleh  tunduk  kepada kehendak isteri.

Kedudukan  dominan lelaki adalah diisbatkan oleh  agama dan  adat. Adalah salah dari segi agama dan juga salah  dari segi  adat bagi seseorang perempuan bersikap  dominan  dalam keluarga  hingga suami dan anak-anak tunduk kepada  kehendak beliau.  Jika keadaan itu berlaku, orang Melayu  mengatakan, “timur  sudah beralih sebelah barat”. Seseorang lelaki  yang “hidup  di  bawah tunjuk isteri” adalah  lelaki  dayus,  dan sistem  nilai  orang Melayu memberi  kedudukan  yang  rendah kepada lelaki seperti itu.

Begitu juga, sifat “lembut dan halus yang ada pada seseorang lelaki itu, adalah menjejas imej kelelakian.

Justeru  itu, dalam proses sosialisasi ibu bapa  Melayu cuba  mendidik anak-anak selaras dengan nilai yang  diterima oleh   masyarakat.  Anak-anak  perempuan  tidak   digalakkan membuat  kerja-kerja  kasar yang khusus  dihubungkan  dengan kaum  lelaki,  dan anak-anak lelaki  pula  tidak  digalakkan membuat kerja-kerja halus yang bersifat keperempuanan.

Dari  pandangan  masyarakat,  tidak  manis  bagi  orang perempuan  menjalankan kerja berat yang  banyak  menggunakan tenaga  fizikal.  Begitu juga, adalah sesuatu  yang  jangkal jika  orang lelaki suka menjalankan kerja-kerja yang  khusus dihubungkan dengan kaum perempuan seperti memasak, membasuh, menjaga anak dan sebagainya. Sistem nilai Melayu masih tidak menerima  konsep  “house-husband”, walau  pun  fenomina  ini dapat dikesan dalam masyarakat pada hari ini.

Berdasarkan   hakikat  ini,  maka   didapati   golongan perempuan  yang  keluar bekerja dan mengambil  alih  peranan lelaki, masih dikehendaki oleh masyarakat untuk  menjalankan peranan-peranan  asasi  mereka sebagai suri  rumah,  sebagai ibu,  dan  sebagai isteri. Bagi  golongan  lelaki,  jangkaan peranan mereka masih tidak berubah.

_____________________________

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s