YAACOB HARUN

Just another WordPress.com weblog

MELAYU DAN KEMELAYUAN May 24, 2009

Filed under: Uncategorized — yaacob @ 4:34 pm

MELAYU DAN KEMELAYUAN (Konsep dan Pengisian)

 Yaacob Harun

_________________________________________________________

PENDAHULUAN

Perkara-perkara di atas akan dikupas dalam kertaskerja ini adalah isu dan persolan yang dipetik daripada makalah yang ditulis oleh Shamsul Amri Baharudin bertajuk, “A History of Identity, an Identity of a History:The Idea and Practice of ‘Malayness’ in Malaysia Reconsidered” dan makalah oleh Virginia Matheson Hooker bertajuk, “Reconfiguring Malay and Islam in Contemporary Malaysia’. Kedua-dua makalah ini dimuatkan dalam buku ‘Contesting Malaynes: Malay Identity Across Boundaries” suntingan Timothy P. Bernard, terbitan Singapore University Press, 2004.

MELAYU & KEMELAYUAN – KONSTRUKSI KOLONIAL

Mengikut Anthony Reid (2004), konsep Melayu itu telah wujud dan digunakan sejak beribu tahun dahulu. Misalnya  dari sumber Mesir (perkataan Melayu-Kulon oleh Ptolemy pada abad kedua), dari sumber China (perkataan Malayu oleh Yijing pada abad ketujuh), dari sumber Arab (perkataan Malai oleh Edrisi pada abad 12), dan dari sumber Barat (perkataan Malayur oleh Marco Polo pada abad ke tiga belas), dll. Walau bagaimana pun terdapat keraguan tentang kepada siapakah atau kepada penduduk manakah konsep itu dirujuk secara spesifik, samaada kepada orang Melaka, kepada orang Sumatera (Srivijaya), atau kepada seluruh penduduk di rantau ini yang berbahasa Melayu. 

Para sarjana (tempatan & luar) menggunakan konsep Melayu itu sebagai konsep yang generic untuk merujuk secara kultural kepada seluruh masyarakat pribumi di rantau ini. Namun demikian, saya berpendapat, selain orang Melayu (khususnya di Malaysia) masyarakat pribumi lain di rantau ini seperti Jawa, Sunda, Bugis, Meluku, Banjar, Iban, Kadazan, Batak, dll. lebih selesa mentakrifkan diri mereka sebagai orang Jawa, orang Bugis, orang Batak, orang Iban, orang Kadazan, dll tanpa perlu mengakui diri mereka terangkum dalam kelompok Melayu sepertimana yang dibuat oleh para sarjana tersebut.

Dalam konteks penggunaannya di Malaysia, Shamsul Amri mengatakan konsep Melayu itu adalah ciptaan asing, khususnya ciptaan pejajah. Pengetahuan tentang Melayu dikembangkan oleh pentadbir-cum-sarjana kolonial, dan dikonstruksikan dari kacamata orientalis. Pengetahuan itu kemudiannya digunakan oleh para sarjana tempatan, ahli politik, pentadbir dll. hingga ke hari ini tanpa membuat penghujahan mendalam terhadap perkara-perkara pokok mengenainya. Dengan kata lain, konsep Melayu dan keMelayuan yang dikonstruksikan oleh penjajah itu  (colonial construct) itu terus diguna tanpa diuji atau dipertikaikan (contested) kesahihannya (validity).

Mengikut Shamsul penjajah Inggeris bukan sahaja menakluki negara ini dari segi politik dan ekonomi, tetapi juga menakluki ruang epistimolgi penduduk tempatan. Penjajah Inggeris dikatakan telah menceroboh atau menganngu-gugat sistem pemikiran anak negeri, sekaligus menguasai serta menyekat mereka untuk mentakrifkan diri dan juga dunia mereka sendiri, dan menggantikan semuanya dengan kerangka asing melalui beberapa modaliti penyelidikan (investigative modalities) – iaitu takrifan tentang maklumat yang diperlukan dan cara maklumat/pengetahuan diperolehi, disusun, dan kemudiannya diperturunkan dalam bentuk laporan, perangkaan, catitan sejarah, gezet, kod dan ensiklopedia.

Sesetengah daripada modaliti ini (termasuk histiriographic modality, survey modality, enumerative modality, surveillance modality, museological modality dan travel modality) ditransformasikan ke dalam bentuk sains atau disiplin seperti ekonomi, ethnologi, perubatan tropika, undang-undang bandingan, dll. (Shamsul Amri, 2004:139) dan digunakan oleh penjajah sebagai rujukan serta asas bagi penggubalan dasar dalam bidang ekonomi, pendidikan, pentadbiran, pertahanan, budaya, dll. ketika itu.

Satu contoh yang diperturunkan oleh Shamsul dalam makalah beliau hasil daripada investigative modalities yang disebutkan di atas adalah Enakmen Tanah Rizab Melayu 1913. Dalam enakmen ini antaranya tercatit siapakah orang Melayu, dan kategori penduduk manakah yang dapat menggunakan tanah rizab tersebut. Oleh kerana tanah rizab ditadbirkan oleh kerajaan negeri, maka negeri-negeri berkenaan juga menentukan siapa yang berhak ke atasnya. Contohnya, di Kedah orang berketurunan Arab diterima sebagai Melayu, tetapi tidak keadaannya di Johor. Begitu juga orang berketurunan Siam dianggap Melayu di Kelantan, tetapi tidak demikian di Negeri Sembilan.

Hasil daripada modaliti-modaliti berkenaan, penjajah Inggeris juga telah menukar serta memberi label baru kepada pelbagai maklumat, pengetahuan, dan bahan yang terkumpul. Contohnya, Stanford Raffles telah menukar jodol kitab Peraturan Segala Raja-Raja kepada jodol baru, iaitu Sejarah Melayu atau Malay Annals. Begitu juga William Marsden, pengarang History of Sumatra memberi nama Tanah Semenanjung yang menjadi tempat asal orang Melayu sebagai Malay Peninsula  yang kemudiannya diterjemahkan kepada bahasa Melayu kepada Tanah Melayu atau  Semenanjung Tanah Melayu.

Hingga kini, pengetahuan kolonial (colonial knowledge) yang dikutip melalui beberapa modaliti penyelidikan dalam berbagai-bagai bidang itu digunakan oleh orang Melayu dan masyarakat Malaysia umumnya  sebagai asas pembinaan bangsa (nation building) dan negara. Lanjutan daripada itu, konsep-konsep Melayu jati, Melayu asli, bangsa Melayu, kebangsaan Melayu, ketuanan Melayu, dll. wujud dan digunakan dengan meluas, dan semua kaum, baik Melayu atau pun bukan-Melayu, jarang mempertikaikannya. Pada tahun 70-an, selepas DEB dilancarkan, konsep Melayu itu diperluaskan kepada konsep bumiputera bertujuan untuk mengkategorikan penduduk pribumi (natives) dan penduduk bukan-bumiputera (non-natives) bagi tujuan-tujuan politik, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dll. dalam konteks masyarakat majmuk (plural society) di Malaysia.

ISLAM & MELAYU DI MALAYSIA

Artikel 160, Perlembagaan Malaysia, mentakrifkan Melayu sebagai “seseorang yang menganut agama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu, dan dilahirkan sebelum Merdeka di Persekutuan atau di Singapura atau mempunyai ibu bapa yang dilahirkan di Persekutuan atau di Singapura atau tinggal di Persekutuan atau di Singapura pada tarikh berkenaan”.

Dari takrifan di atas, didapati agama Islam menjadi salah satu daripada factor pentakrif Melayu dan keMelayuan di Malaysia. Ini membawa kita kepada isu utama yang terkandung dalam makalah yang ditulis oleh Virginia Matheson Hooker seperti yang disebutkan di atas. Virginia mengatakan di Malaysia, Islam dan prinsip-prinsip keIslaman telah diterjemahkan bagi mengisi usaha untuk mempertingkatkan kemajuan sosio-ekonomi Melayu, dan juga untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh orang Melayu. Selain memenuhi keperluan kerohanian bagi orang Melayu, Islam juga dikatakan bertindak sebagai wadah memenuhi dua keperluan lain, iaitu keperluan social, khususnya untuk mengawal dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat Melayu, dan keperluan sivil umumnya untuk menyatupadukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Para pemimpin Melayu, terutamanya bekas Perdana Menteri (Tun Mahathir Mohamed), dan bekas Timbalan Perdana Menteri (Dato’ Seri Anwar Ibrahim), pada tahun-tahun mereka berada dalam Kerajaan sering melaungkan kepada orang Melayu supaya merealisasikan ajaran Islam yang sebenar bagi membina sikap dan nilai selaras dengan tuntutan kemajuan. Mahathir dalam bukunya Menghadapi Cabaran (The Challenge), menegaskan bahawa salah-tafsiran orang Melayu terhadap ajaran Islam sebenar menyebabkan mereka berada dalam keadaan keliru. Ini satu cabaran besar yang perlu dihadapi. Bagi Mahathir, masa depan dan survival orang Melayu terletak kepada diri mereka mereka sendiri. Untuk itu, mereka perlu mengamalkan atau menghayati nilai-nilai baik, dan nilai-nilai baik itu semuanya terdapat dalam Islam.

TPM Anwar juga pada awal tahun 90-an menyuarakan pendapat yang sama. Dalam bukunya The Asian Renaissance, Anwar mengatakan walaupun orang-orang Asia (termasuk orang Melayu) amat berbangga dengan agama mereka, tetapi jika mereka gagal menghayati ajaran agama tersebut, maka wujud pelbagai gejala negatif dalam kehidupan masyarakat seperti rasuah dan penyelewengan. Banyak perangkaan menunjukkan bahawa orang Melayu paling banyak terlibat dalam kegiatan anti-sosial dan maksiat seperti dadah, rasuah, lepak, sumbang muhrim, dera, bohsia, bohjan, AID, HIV dll. Mengenai perkara ini, Anwar disebut sebagai berkata ‘walaupun orang Melayu diajar dan dilatih dalam ilmu agama, baik di rumah atau disekolah berbanding dengan kaum lain, tetapi pelajaran agama yang mereka terima itu tidak berkesan sebab sikap mereka yang enggan mengamalkan ajaran tersebut dalam kehidupan seharian’.

Pada pokoknya, kedua-dua tokoh Melayu yang disebutkan di atas (iaitu Mahathir dan Anwar) menyeru agar orang Melayu menghayati prinsip-prinsip Islam dalam kehidupan mereka. Mereka seringkali menegaskan dalam ceramah, khutbah, dll. bahawa Islam adalah agama yang tidak menyekat penganutnya dari berusaha untuk mencapai kemajuan dalam semua bidang kehidupan.

Sehubungan dengan itu, dalam makalah beliau, Virginia menghuraikan tentang tindakan yang diambil oleh kepimpinan Melayu (khususnya Mahathir) untuk menjadikan Islam sebagai wadah atau pun sebagai wahana bagi mencapai kemajuan dan pembangunan orang Melayu di Malaysia. Hanya dengan pembentukan satu komuniti Islam yang kuat sahaja dapat menafikan segala salah-tanggapan (misconception) orang bukan-Islam terhadap agama itu sebagai penghalang kemajuan.

ISU & PERSOALAN

Daripada dua makalah yang secara ringkasnya dihuraikan di atas, saya dapat perturunkan beberapa isu dan persolaan. Ini sekaligus menimbulkan cabaran kepada kita sebagai orang Melayu untuk mentakrif diri kita, jatidiri kita, dan menggunakan takrifan tersebut untuk merancang, menggubal dan melaksanakan program, kaedah dan pendekatan bagi mencorak masa depan dan survival Melayu pada masa akan datang, terutama sekali dalam konteks wawasan Malaysia untuk wujud sebagai sebuah negara maju setanding dengan negara-negara maju lain di dunia.

Isu dan persoalan itu adalah seperti berikut:

  1. Adakah benar konsep Melayu dan keMelayuan itu konstruksi kolonial yang digubal berdasarkan pengetahuan kolonial (colonial knowledge) tentang orang Melayu melalui pelbagai investigative modalities yang disebutkan.
  2. Adakah orang luar (penjajah) lebih mengetahui tentang diri orang Melayu, hatibudi Melayu, emosi Melayu, sikap dan nilai Melayu dll. lebih daripada orang Melayu sendiri.
  3. Kalaulah Melayu dan keMelayuan itu konstruksi penjajah (colonial construct), adakah kita berpuashati dan menerima pakai semua konsep dan semua takrifan tentang Melayu dan keMelayuan ciptaan asing itu secara berterusan tanpa mempertikaikan kevaliditiannya.
  4. Bagaimana pula tentang takrifan tentang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia (digubal berdasarkan konstruksi kolonial) dapat bertahan dan terus digunakan hingga kini.
  5. Adakah orang Melayu yang tidak menghayati perkara-perkara pokok dalam takrifan tersebut masih boleh diterima sebagai berada dalam orbit keMelayuan.
  6. Sejauhmana pula Islam dapat diperkukuhkan sebagai tonggak  jatidiri Melayu, dan sebagai wahana bagi kemajuan dan survival orang Melayu pada masa-masa akan datang.
  7. Adakah perjuangan kepimpinan Melayu untuk membawa kemajuan kepada orang Melayu berlandaskan prinsip-prinsip Islam menyebakan Islam itu dilihat sebagai agama sivil dan bersifat secular.

ULASAN

Bagi saya, Melayu itu kekal sebagai konsep, samaada  ia dicipta oleh orang asing (penjajah) atau telah sedia wujud, dan digunakan bagi merujuk kepada kelompok Melayu di rantau ini, bukan menjadi persoalan besar yang perlu didebatkan dengan panjang lebar. Jika pun dicipta oleh penjajah, ciptaan tersebut adalah berasaskan kepada kegunaannya yang sedia ada, bermula dari perkataan Malayu, Malai, Malayos, wu lai yu dll. sebagai social label untuk membezakan orang Melayu dari kelompok-kelompok lain. Lantaran itu  kegunaan konsep Melayu difikirkan paling sesuai dan tepat pada ketika itu, dan seterusnya hingga kini.

Perkara yang lebih penting ialah pengisian konsep Melayu tersebut. Jika di zaman penjajah konsep Melayu pada mulanya digunakan untuk tujuan-tujuan pengkategorian (Melayu, Jawa, Bugis, China, Arab, dll), tetapi apabila konsep itu diterima pakai, maka ia menjadi kaedah untuk diterapkan dalam penggubalan dasar ekonomi (Tanah Rizab Melayu), dalam bidang politik (Tanah Melayu & bangsa Melayu), dalam bidang pendidikan (sekolah Melayu), dalam bidang sastera (Sejarah Melayu) dll.

Hanya pada tahun 1940-an konsep Melayu dan KeMelayuan telah diuji dan teruji apabila orang Melayu dari seluruh pelusuk tanah air (Tanah Melayu) bangun dan bersatu untuk menentang gagasan Malayan Union anjuran penjajah. Penubuhan UMNO pada tahun 1946 adalah manifestasi yang konkrit bagi orang Melayu mengisi kerangka Melayu dan keMelayuan mereka.

Lanjutan daripada itu perjuangan untuk mendapat kemerdekaan adalah berlandaskan semangat kebangsaan Melayu untuk mempastikan segala-segala yang terkandung dalam konsep Melayu itu (raja, bahasa, agama, hak-hak Melayu dll) tidak diganggu, malah perlu disi, dimantap serta diperkukuhkan kedudukannya.

Setelah negara mencapai kemerdekaan, konsep Melayu dan keMelayuan diberi takrifan yang jelas seperti terkandung dalam Artikel 160, Perlembagaan Malaysia, dan takrifan inilah digunakan oleh pemimpin Melayu (UMNO) untuk mengisi kerangkan perjuangan mereka bagi mendaulatkan bangsa Melayu dan ketuanan Melayu di Tanah Melayu.

Perkembangan selanjutnya menunjukkan bahawa konsep Melayu dan keMelayuan itu sekali lagi diuji dan terujui, kali ini dengan begitu hebat hingga  berlakunya peristiwa berdarah pada tahun 1969. Seperti yang kita sedia maklum, DEB yang dilancarkan pada tahun 1970 itu pada asasnya bertujuan untuk mendaulat dan memperkukuhkan Melayu dan keMelayuan, dan juga untuk menjaminkan yang Melayu, kedudukan Melayu serta ketuanan Melayu di negara ini tidak lagi dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Saya rasa tidak perlu saya bincangkan dengan panjang lebar di sini.

Namun demikian, sepertimana yang dikatakan oleh Shamsul Amri, selepas DEB dilancarkan, Melayu dan keMelayuan telah dirangkumkan dalam konsep bumiputera dan kebumiputeraan. Ini adalah untuk mengambil kira penduduk pribumi lain di negara ini (terutamnya di Sabah dan Sarawak) yang pada hakikatnya menghadapi nasib yang sama serta yang menempah masa depan (destiny) yang sama seperti orang Melayu. Adakah ini satu ujian baru bagi Melayu dan keMelayuan, apabila kita merujuk semula pada perkara 160 Perlembagaan Malaysia tentang takrifan Melayu yang bersepadu dengan Islam.

Faktor agama Islam walaupun bertindak sebagai pengukuh takrif keMelayuan, tetapi, pada pendapat saya,  pada zaman penjajahan factor ini tidak begitu  terbuka bagi memasuki orang Islam lain (Arab, Jawa, Acheh, Bugis) ke dalam orbit keMelayuan selain orang Melayu di Tanah Melayu. Hanya setelah mencapai kemerdekaan di mana pintu Melayu itu terbuka dengan agak luas bagi memasuki penduduk lain yang beragama Islam (termasuk mereka dari keturunan Arab, China, India, Pakistan dll. yang telah masuk Melayu).

Perkara pokok di sini ialah Islam sebagai pentakrif utama Melayu di Malaysia kerana semua orang Melayu itu beragama Islam. Di sini, dan pada saat ini konsep Melayu-Islam atau Islam-Melayu itu diuji oleh orang Melayu sendiri. Ini jelas terbukti dalam pergerakan politik Melayu, di mana satu pihak (PAS) telah menggunakan agama sebagai asas perjuangan mereka. Maksudnya mereka telah mempolitikkan agama hingga dikatakan menjadikannya political Islam. Di satu pihak lain (UMNO) memperjuangkan nasib Melayu dan mengisi kerangka Melayu-Islam , tanpa perlu mempolitikkan Islam itu sendiri.

__________________

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s