YAACOB HARUN

Just another WordPress.com weblog

JATI DIRI MELAYU DI PERANTAUAN May 25, 2009

Filed under: Uncategorized — yaacob @ 2:05 pm

JATI DIRI MELAYU DI PERANTAUAN (Rujukan kes di Bandaraya Wellington, New Zealand)

Yaacob Harun
__________________________________________________ 
 

 

PENDAHULUAN

Kertas ini secara ringkas menyingkap persoalan jati diri Melayu di perantauan dengan rujukan kes kepada masyarakat Melayu yang tinggal di bandaraya Wellington, New Zealand. Antara perkara yang akan disentuh dalam perbincangan termasuk komposisi penduduk berketurunan Melayu di Wellington, latar belakang keluarga, tempat asal, gaya hidup, aktiviti agama dan aktiviti sosial yang mereka lakukan bersama sebagai orang perantau. Perkara-perkara ini akan dibincangkan dalam konteks pengekalan serta pengkhayatan ciri-ciri yang menjadi tonggak jati diri orang berketurunan Melayu di Wellington, New Zealand.

PROFIL RINGKAS MASYARAKAT MALAYSIA/MELAYU DI NEW ZEALAND (WELLINGTON)

Mengikut New Zealand Census of Population and Dwelling 2001, terdapat 11,463 orang yang menyatakan mereka lahir di Malaysia, dan kini tinggal di New Zealand sama ada sementara atau menetap. Kebayakan daripada mereka yang menetap di New Zealand ini masih mengekalkan kewargaan Malaysia tetapi mendapat status penduduk tetap (PR status) di New Zealand. Cuma sebilangan kecil sahaja yang telah menggugurkan kewargaan Malaysia tersebut. Banci penduduk 2001 itu juga melaporkan kira-kira 24% daripada mereka berhijrah ke New Zealand dalam masa 4 tahun semasa banci dilakukan, 21% berhijrah dalam masa antara 5 hingga 9 tahun, 36.5% berhijrah dalam masa 10 hingga 19 tahun, dan selebihnya berhijrah ke New Zealand dalam masa lebih daripada 20 tahun pada masa banci dilakukan. (Lihat Jadual 1). Banci Penduduk NZ 2001 seterusnya menunujukkan sejumlah 2052 orang menyatakan mereka berketurunan Melayu (Malays). Walau bagaimana pun, kita tidak pasti samaada semuanya berasal dari Malaysia, sebab terdapat juga orang berketurunan Melayu di New Zealand yang datang dari Indonesia, Singapura, Kambodia, dan lain-lain daerah di dunia Melayu. Pada pendapat saya, jumlah orang Melayu yang berasal dari Malaysia yang tinggal di New Zealand pada tahun 2001 adalah antara 1200 hingga 1500 orang. 

Jadual 1 Tempat Lahir (Malaysia) Mengikut Jantina Sejak Berhijrah ke New Zealand

Tahun Berhijrah

Lelaki

Perempuan

Jumlah

   %

< setahun

366

426

792

06.90

1 tahun

246

309

555

04.84

2 tahun

216

279

495

04.31

3 tahun

195

219

414

0.3.61

4 tahun

225

270

495

04.31

5-9 tahun

1107

1311

2418

21.09

10-19 tahun

2013

2175

4188

36.53

< 20 tahun

780

789

1569

13.68

Tiada jawapan

267

270

537

04.68

Jumlah

5415

6048

11463

99.95

Sumber: New Zealand Census of Population and Dwelling 2001

Di bandaraya Wellington, saya mengenali seramai kira-kira 40 keluarga Melayu tidak termasuk pelajar. Kebanyakannya  berasal dari Malaysia, sebilangan berasal dari Singapura dan Kambodia. Selain itu terdapat juga kenalan dari Indonesia, majoritinya terdiri daripada staf Kedutaan Republik Indonesia dan keluarga mereka. Orang Melayu Malaysia di Wellington terdiri daripada mereka yang menetap di Wellington tetapi masih  memegang kewargaan Malaysia (Malaysian citizenship),  staf Pesuruhan Jaya Tinggi Malaysia dan keluarga mereka, dan para pelajar.

Secara peribadi saya mengenali dan bergaul rapat dengan kira-kira 25 keluarga Melayu yang menetap di Wellington ini, kebanyakan daripada mereka berkahwin dengan warga New Zealand (Kiwi). Ada juga yang berkahwin dengan warga Malaysia sesama keturunan, warga Malaysia keturunan Cina dan dengan warga dari negara lain seperti Jepun dan Kambodia. (Lihat Jadual 2). Mereka menjalankan pelbagai pekerjaan termasuk guru, arkitek, doktor, berniaga, pegawai undang-undang, pemandu teksi, pegawai keselamatan, dan pesara. Bagi wanita yang berkahwin dengan warga New Zealand, kebanyakanya adalah surirumah tangga.

Tempat yang menjadi fokus perhimpunan dan pergaulan sesama Melayu di Wellington ialah Pesuruh Jaya Tinggi Malaysia. Staf yang bertugas di Pesuruh Jaya Tinggi ini bersama keluarga mereka (sejumlah 7 keluarga), para pelajar (bilangan pelajar Melayu adalah kira-kira 25 orang), dan pegawai-pegawai lain termasuk saya dan keluarga turut meramaikan bilangan orang Melayu di Wellington (yang dianggarkan berjumlah kira-kira 130 orang). Masyarakat Melayu di sini memaparkan corak kehidupan tersendiri – ada yang berlandaskan corak kehidupan Melayu/Islam seperti di Malaysia, dan tidak kurang pula yang terpengaruh dengan corak kehidupan Kiwi.

Jadual 2: Orang Melayu (Malaysia) yang Menetap di Wellington

Jantina

Pasangan Seketurunan

Pasangan

Senegara

Pasangan

Kiwi

Pasangan dari Negara Lain

Jumlah

Lelaki

2

3 (KC)

7

2

17

Perempuan

 

2 (KC)

8

 

10

Jumlah

 

 

 

 

27

 

ASAS-ASAS UMUM JATI DIRI MELAYU

Jati diri atau identiti satu-satu kaum itu berpaksikan beberapa ciri utama. Pada pendapat saya, asas-asas jati diri Melayu, khususnya di Malaysia, adalah: watan (negeri dan raja Melayu), agama Islam, bahasa Melayu, adat istiadat Melayu, dan segala sistem sosial (ekonomi, politik, kekeluargaan, nilai, dll.) yang menjadi komponen utama budaya Melayu itu sendiri. Pengekalan dan pengkhayatan perkara-perkara yang disebut di atas ini akan menjaminkan kelansungan (survival) Melayu sebagai satu kaum dan juga menjadi titik pengenalan atau indikator jati diri Melayu biar di mana sahaja mereka berada.

Pada peringkat makro, orang Melayu mendiami rantau atau wilayah dunia Melayu yang luas. Penjajah Inggeris, Belanda, Perancis dan Portugis telah menyebabkan rantau atau wilayah Melayu terpecah kepada beberapa negara bangsa (nation state) selepas wilayah-wilayah jajahan tersebut diberi kemerdekaan. Dengan itu di rantau ini wujud negara-negara bangsa seperti Indonesia, Federation of Malaya/Malaysia, Singapura, Filipina, dan Brunei Darussalam. Akibatnya orang Melayu serumpun telah menggunakan negera masing-masing sebagai perujuk pengenalan diri atau jati diri mereka. Tiap negara pula mempunyai corak agama dan budaya serta struktur kependudukan yang berbeza hingga mereka tidak lagi menggunakan perkataan “Melayu” sebagai sesuatu yang ‘generic’. Orang Melayu Malaysia akan mengenali diri mereka sebagai “orang Malaysia”, orang Melayu Indonesia sebagai “Indon”, orang Melayu Filipina sebagai “Filipinos” dll.

Pada peringkat mikro pula, sejak zaman berzaman, orang Melayu khusunya di Malaysia tinggal dalam negeri Melayu (Malay state) di bawah naugaan seorang raja/sultan. Negeri Melayu ini juga menjadi perujuk kepada pengenalan diri dan adat resam Melayu, termasuk dialek atau loghat percakapan orang Melayu di negeri tersebut. Apabila berjumpa sahaja orang Melayu, soal yang tidak terlepas ditanya ialah “saudara dari negeri mana?”. Jika jawapannya, “saya orang Kedah”, maka akan tergambar dalam minda si penanya bahawa orang Melayu Kedah itu pasti akan menggunakan loghat Kedah (loghat utara) dalam percakapannya, suka memakan makanan yang pedas (termasuk gulai yang cair), suka berseluruh dengan menggunakan ungkapan-ungkapan yang kasar seperti “barua”, “plesit”, “pelaq”, dan juga tergambar secara umum bahawa orang Kedah itu kebanyakannya “hangit” dan “berjelerum” kerana termakan cuaca dan persekitaran bendang padi yang panas.

Begitu juga dengan perujuk pengenalan diri (jati diri) bagi “orang Kelantan”, yang akan tergambar dalam minda seseorang bahawa orang Kelantan itu akan menggunakan loghat “Kelate” dalam percakapan (termasuk turut mencemarkan sebutan bahasa Inggeris dengan loghat dan intonasi Kelantanya. (Misalnya seperti dilaporkan dalam New Straits Times keluaran 14 Februari 2005, Datuk Mustapa Mohamed berasa bimbang dengan bahasa Inggeris yang telah diKelantankan oleh anak-anak muda di negeri tersebut hingga movie Inggeris bertajuk ‘the man with the golden gun’ disebut ‘de mae wi de goldae gae’). Yang menariknya, akan tergambar juga dalam minda seseorang itu bahawa negeri Kelantan itu terkenal dengan gadis-gadisnya yang cantik dan comel, orang Kelantan yang  suka memakan makanan yang manis-manis, dan lain-lain stereotype tentang Kelantan dan orang Melayu Kelantan.  Stereotype tentang negeri-negeri Melayu lain juga tidak ketinggalan digunakan sebagai perujuk pengenalan diri (jati diri) rakyatnya, misalnya “orang Trengganu” (yang perkataan dalam loghatnya banyak menggugurkan serta menambahkan huruf ‘g’ – seperti ‘sakit pinggan basuh pinggang’ atau ‘malan-malan jalang-jalang’), “orang Johor” (yang lembut budi bahasanya), atau “orang Negeri Sembilan” (yang terkenal dengan sistem sosial Adat Perpatihnya – termasuk terpaksa dikedimkan atau terpaksa ‘masuk suku’ jika hendak berkahwin dengan gadis-gadisnya).

Di Malaysia, takrifan Melayu mengikut Perlembagaan adalah “Seseorang yang menganut agama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu, dan dilahirkan sebelum Merdeka di Persekutuan atau di Singapura atau mempunyai ibu bapa yang dilahirkan di Persekutuan atau di Singapura atau tinggal di Persekutuan atau di Singapura pada tarikh berkenaan” (Artikel 160, Perlembagaan Malaysia).

Tiga perkara pokok bagi takrifan Melayu di sini adalah (1) agama Islam, (2) bahasa Melayu, dan (3) adat istiadat Melayu. Pada umumnya, perkara-perkara inilah yang menjadi tonggak budaya Melayu dan juga asas jati diri. Justeru itu, seseorang Melayu yang mengakui dirinya Melayu, dan yang ingin dikenali atau didentifikasikan sebagai orang Melayu, semestinya mempertahan serta menghayati ketiga-tiga perkara pokok ini.

Persoalan timbul sejauhmana dan dalam situasi mana perkara-perkara pokok ini dapat dipertahankan atau dihayati sepenuhnya? Adakah mereka yang tidak mengamalkan ketiga-tiganya, atau mana-mana satu daripadanya sudah terkeluar daripada orbit kemelayuan? Sudah tidak lagi Melayu kah mereka? Sudah hilangkah jati diri mereka sebagai orang Melayu? Jawapannya adalah “ya” jika kita dan orang Melayu umumnya tinggal di Malaysia. Akan tetapi bagi orang berketurunan Melayu yang tinggal di luar Malaysia, misalnya di Thailand, di Indonesia, di Kambodia, di Singapura, di Filipina, malah di mana sahaja termasuk di perantauan, masih menganggap diri mereka sebagai Melayu jati dan masih berada dalam orbit kemelayuan itu sendiri. Mereka dengan bangga terus mengatakan “we are Malays”. Misalnya, orang Melayu Filipina mengatakan, “we are the most dynamic Malays”. Bagi mereka, tiga perkara pokok yang mentakrifkan Melayu seperti terkandung dalam Perlembagaan Malaysia adalah khusus untuk pengkhayatan orang Melayu di Malaysia sahaja, dan tidak relevan sama sekali digunakan sebagai kayu ukur keMelayuan bagi mereka.

Di Malaysia, ciri-ciri jati diri Melayu seperti yang disebut di atas dipertahankan oleh orang Melayu dan juga dilindungi serta diterjemahkan kepada dasar-dasar pemerintahan, contohnya dasar mengenai kedudukan agama dan pentadbiran agama Islam,  dasar bahasa Melayu, kedudukan serta hak keistimewaan orang Melayu dan lain-lain. Namun demikian, ciri-ciri ini jati diri Melayu ini saya dapati banyak mengalami keruntuhan selaras dengan perkembangan dan kemajuan masyarakat Melayu dalam era globalisasi kini. Masyarakat Melayu bandaran, terutama mereka dari  kalangan kelas menengah banyak mempertontonkan cara hidup (way of life) dan gaya hidup (life style) asing (barat). Bahasa percakapan mereka, adat resam, pakaian, tempat kediaman, permakanan, sikap dan nilai, pemikiran dan falsafah, dan lain-lain tidak begitu kelihatan “Melayu” lagi. Golongan “Melayu baru” ini mungkin lambat laun akan tumbuh, hidup dan berkembang atas akar budaya dan jati diri asing, sama seperti orang Melayu di luar Malaysia.

JATI DIRI MELAYU DI PERANTAUAN

Dari pengamatan saya, orang Melayu di perantauan (khususnya mereka yang saya temui dan kenali di New Zealand), – jati diri kemelayuan mereka ditarik oleh dua bumi dan dua langit yang mereka pijak dan junjung, iaitu bumi dan langit negeri asal mereka (Malaysia, Kambodia, Singapura, Indonesia dll) dan bumi serta langit New Zealand. Apabila ditanya siapa mereka, jawapannya, “I am a Malaysian/I am a Cambodian Malay/ I am a Singaporean… with a New Zealand PR. Being in New Zealand, we have to be a Kiwi and act like a Kiwi, but we can always be and act like Malay when we get back home”.

Pada umumnya, didapati, apabila tinggal di perantauan seseorang itu lazimya akan mengikuti atau mengamalkan ciri-ciri atau peraturan hidup yang sama sekali asing daripada apa yang didapati di negara asal. Misalnya, bagi orang Melayu di New Zealand, bahasa percakapan harian mereka adalah bahasa Inggeris. Malah sesama Melayu yang datang dari Malaysia atau dari Indonesia pun, perbualan kebanyakannya dalam bahasa Inggeris. (Dalam satu mesyuarat WELMA (Wellington Malaysian Association) yang saya hadiri, semuanya bercakap dalam bahasa Inggeris walaupun yang hadir itu semuanya Melayu. Ini mungkin mesyuarat itu diadakan di Wellington dan tidak di Ulu Tembeling).

Bahasa ibunda hanya digunakan di rumah, itupun jika suami isteri kedua-duanya berketurunan Melayu dan berasal dari Malaysia/Singapura. Percakapan dengan anak-anak yang dilahir dan dibesarkan di New Zealand adalah lazimnya dalam bahasa Inggeris. Bagi orang Melayu yang berkahwin dengan orang New Zealand dan tinggal di New Zealand pula, percakapan harian mereka tidak lain melainkan dalam bahasa Inggeris. Dalam konteks ini, kita dapati bahasa Melayu yang menjadi tonggak utama jati diri Melayu tidak lagi dapat dipertahankan. Anak-anak berketurunan Melayu yang dilahir dan dibesarkan di New Zealand tidak lagi dapat bertutur dalam bahasa Melayu, seperti orang Melayu di Thailand atau pun di Sri Lanka, Afrika Selatan, dll. yang sudah lama bermastautin di situ. Jadi siapakah mereka ini? Bagi orang berketurunan lain (Cina dan India) berasal dari Malaysia yang saya kenali di New Zealand juga menyebut bahawa anak-anak mereka sudah menjadi seperti Kiwi. Seorang rakan pensyarah saya dari Malaysia berketurunan Cina yang berkhidmat di Massey University, Wellington mengatakan anak-anak beliau adalah ibarat pisang yang kelihatan, “kuning dari luar tetapi putih di dalam” (yellow from the outside, but white inside).

Begitu juga dengan prinsip keagamaan, adat istiadat, tata susila, dan nilai sosio-budaya Melayu yang tidak dapat dipertahankan. Orang Melayu di perantauan termasuk di New Zealand tidak lagi akur kepada sistem nilai Melayu seperti diamalkan oleh orang Melayu di Malaysia. Mereka tidak lagi dikenakan tekanan oleh masyarakat setempat (walaupun dari yang berketurunan Melayu sendiri) jika didapati ada orang Melayu yang menyeleweng atau bertindak di luar batasan agama Islam dan nilai sosio-budaya Melayu. Contohnya, saya dapati masyarakat setempat (di Wellington) tidak menyuarakan apa-apa tentangan, cemuhan, atau kritikan terhadap orang Melayu yang terlibat dalam kes-kes bersekedudukan tanpa  nikah, berpasangan (partner) dengan kaum sejenis, perlakuan atau percakapan yang menggambarkan terkeluar dari orbit keIslaman, memakan makanan yang tidak disediakan secara halal, memimum minuman keras di khalayak, tidak berpuasa pada bulan Ramadan, dan lain-lain kegiatan yang tidak Islamic dan yang tidak bercirikan Melayu . Anehnya, mereka yang terlibat ini masih mengakui diri mereka Melayu dan beragama Islam.

Masyarakat Islam (termasuk Melayu-Islam) di New Zealand tidak mendapat simpati daripada pemerintah bagi menegakkan ciri kehidupan berteraskan Islam. Contohnya, satu-satunya wakil rakyat Islam ke Parlimen New Zealand terpaksa akur dan tunduk kepada keputusan Parti Buruh yang memerintah, sedangkan keputusan itu bertentangan dengan ajaran Islam. Apabila Parlimen mengusulkan undi meluluskan “pelacuran” sebagai satu profesyen yang sah, wakil rakyat Islam tersebut berkecuali hingga menyebabkan usul tersebut diluluskan dengan undi 50 menyokong (kebanyakan daripada parti Buruh) dan 49 menentang. Begitu juga dengan usul “civil union” yang membenarkan perkongsian hidup tanpa nikah dan perkongsian hidup sesama jenis (gay & lesbian) juga diluluskan oleh Parlimen, dan wakil rakyat Islam yang sama juga turut menyokong. Suara-suara protes terhadap keputusan dan tindakan yang diambil oleh wakil rakyat Islam tersebut oleh badan-badan Islam seperti FIANZ (Federation of Islamic Association New Zealand) tidak membawa ke mana-mana.

Atas hakikat tinggal dalam sebuah negara sekular seperti New Zealand yang tidak mementingkan agama dan penghayatan keagamaan, maka orang Islam termasuk orang Melayu, akan terdorong bertindak di luar batasan agama dan nilai Melayu. Selama empat tahun tinggal di kota Wellington, secara peribadi saya dapati perkara-perkara berikut telah berlaku di situ:

  • Saya terdengar cerita ada seorang gadis Melayu yang pergi berjumpa Imam di mesjid Wellington untuk keluar dari agama Islam kerana hendak mengahwini pasangannya seorang Yahudi. (Kini gadis atau wanita itu  sudah pun berkahwin dengan lelaki tersebut, tetapi saya tidak pasti amalan agamanya. Walau bagaimana pun namanya masih nama Melayu, dan saya yakin beliau masih berada dalam orbit keIslaman)
  • Ada orang Melayu yang saya kenali menukar namanya dari nama Melayu ke nama lain yang berbau keInggerisan atau keItalianan.
  • Ada orang Melayu yang saya kenali yang tidak pernah bersua barang sekali pun bersembahyang Jumaat.
  • Ada tiga orang Melayu seorang  tinggal dengan pasangan Kiwi tanpa nikah, dan dua orang lain tinggal dengan pasangan Kiwi dari kaum sejenis (gay couples).
  • Ada juga saya terdengar seorang wanita Melayu  mengatakan “why must my husband convert to Islam when he is already a good Christian”, dan
  • Ada orang Melayu mengatakan kepada saya, “he is no longer with us, he forgets his religion, and he lives, eats, and acts like a non-Muslim”.

Ini adalah hakikat hidup lama di perantauan, akhirnya akan lupa agama, lupa bahasa, dan lupa budaya. Tetapi mereka masih orang Melayu dan warna kulit mereka masih coklat (sawo matang).

Keadaan hilang jati diri jelas saya dapati di kalangan orang Maori di New (saudara kita dari rumpun Melayu-Polynesian). Tidak ramai daripada mereka yang masih boleh bertutur dalam bahasa Maori, dan tidak ramai yang masih berpegang kepada adat resam tradisi Maori. Mereka telah asimilasi dengan budaya “Pakeha” (orang putih). Nama mereka kebanyakan sudah bertukar menjadi nama Inggeris, agama mereka agama Kristian (walau pun tidak betul-betul menghayatinya), dan cara hidup mereka adalah cara hidup sepertimana yang diamalkan orang “Pakeha” majoriti. Cuma rupa paras dan bentuk badan mereka sahaja yang bersifat Maori, itu pun telah bertukar akibat berlakunya perkahwinan campur.

(Dalam seminar “Identity in the Pacific and in the Malay World” yang dianjurkan oleh Kursi Pengajian Melayu  dan School of Maori Studies, VUW, seorang Pembentang kertaskerja Maori dengan terang dan nyata mengatakan “we Maoris have lost our identity….we have to go back to trace our identity and our cultural roots…we have to revive and to relearn our language…because no matter how much we assimilate ourselves with the Pakeha culture, we are still Maoris…we are still different from them”)

Saya rasa, perkara ini (kehilangan jati diri) pasti akan berlaku pada orang Melayu di perantauan termasuk di New Zealand sepertimana jelas berlaku pada orang Melayu di Sri Lanka dan di Afrika Selatan.

IDENTIFIKASI KEISLAMAN, KEMELAYUAN & KEMALAYSIAAN

Di sebalik cerita-cerita sedih di atas yang menggambarkan keadaan rungupnya jati diri Melayu di perantauan, terdapat juga perasaan bangga dan senang apabila adanya orang Melayu dan juga rakyat Malaysia lain yang masih mempertahankan nilai-nilai keIslaman, keMelayuan, dan keMalaysiaan di New Zealand, khususnya di Wellington. Mereka masih mengidentifikasikan diri dengan Islam, Melayu dan Malaysia.

Mesjid Wellington yang pembinaannya juga mendapat sumbangan kewangan daripada Kerajaan Malaysia adalah menjadi tempat orang Melayu-Islam bersembahyang bersama umat Islam lain. Di mesjid ini juga diadakan kelas agama, ceramah, dan majlis agama yang lain. Anak-anak masyarakat Islam (termasuk anak-anak Melayu) juga dihantar ke mesjid ini untuk belajar mengaji dan pendidikan agama. Tidak dapat dielakkan, medium pengajaran dalam pendidikan agama tersebut adalah bahasa Inggeris.

Selain daripada itu, majlis-majlis agama (seperti majlis kesyukuran, sembahyang hajat, dll) juga diadakan di Pesuruh Jaya Tinggi Malaysia dari semasa ke semasa. Orang perseorangan pun juga sering kali mengadakan majlis kenduri dan bacaan doa disertai dengan sembahayang berjemaah. Namun demikian, tidak semua yang hadir itu (terutama para suami atau isteri yang tidak berketurunan Melayu) turut bersembahayang. Saya dapati lazimnya mereka berbual sesama mereka ketika orang lain bersembahayang

Pergaulan dan hubungan sesama Melayu (tidak kira yang masih kuat keMelayuannya atau pun yang sudah luntur) adalah akrab sekali. Majlis kenduri, sambut hari jadi anak, sambutan hari raya, rumah terbuka dll. sering diadakan sama ada secara berkumpulan atau persendirian. Oleh kerana bilangan orang Melayu di Wellingan itu kecil dan masing-masing saling kenal mengenali, maka jarang sekali berlaku kes mengelak diri  untuk tidak hadzir dalam majlis yang diadakan itu. Secara peribadi saya katakan di sini, saya dan keluarga merasai hubungan yang terjalin adalah lebih rapat dan mesra dengan orang Melayu dan orang Malaysia lain di Wellington daripada hubungan dengan kaum keluarga dan sahabat handai di tanah air sendiri, khususnya di Kuala Lumpur. Di perantauan perasaan tolong menolong dan bantu membantu adalah lebih kuat. Kita sesama Melayu dan sesama negara di perantauan adalah ibarat sebuah keluarga besar yang akrab dan mesra. Saya dapati ini adalah satu nilai perpaduan (gemeinschaft) yang menjadi amalan orang Melayu zaman berzaman terutamanya di kawasan luar bandar – satu nilai yang telah pun pudar di bandar. Dilihat dalam konteks ini, saya rasa satu ciri asas jati diri Melayu kian menghilang di negara sendiri, tetapi hidup segar di perantauan.

Di Wellington wujud pertubuhan-pertubuhan seperti Malaysia-New Zealand Society (Wellington) dan Wellington Malaysian Society (WELMA), bertujuan menyatukan semua warga Malaysia yang berada di Wellington, menggemblingkan tenaga mereka bagi menjayakan kegiatan bersama serta mengukuhkan kesedaran sebagai rakyat Malaysia di perantauan. Penubuhan WELMA pada tahun 2002 dengan pengasasnya seorang Melayu berlandaskan kesedaran bahawa suara masyarakat Melayu di Wellington tidak sangat diwakili dan didengari dalam Malaysia-New Zealand Society kerana keanggotaan pertubuhan berkenaan hampir seluruhnya terdiri daripada orang Malaysia berketurunan Cina.

Perkara yang menjadi persoalan di sini ialah kenapa perlunya wujud dua “Malaysia-based associations” di Wellington sedangkan warga Malaysia di Wellington itu tidak begitu ramai (kira-kira 600 keluarga semuanya termasuk keluarga Melayu). Jawapannya saya rasa ialah orang Melayu masih ingin menggelompokkan diri sesama mereka seperti berlaku di tanah air. Ini satu lagi aspek keMelayuan yang sukar dikikis dalam diri orang Melayu biar di mana mereka berada. Orang Melayu tetap Melayu sifatnya walaupun perkara-perkara pokok yang mendasari jati diri mereka sebagai orang Melayu (iaitu bahasa, agama, dan adat resam) tidak betul-betul dipertahankan lagi.

Tempat yang menjadi fokus orang Malaysia di perantauan termasuk di New Zealand ialah Kedutaan/Pesuruh Jaya Tinggi Malaysia. Banyak kegiatan kebangsaan atau KeMalaysiaan diadakan di situ, termasuk sambutan Hari Kebangsaan, Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang Di Pertuan Agong, dan Hari Raya. Pada majlis-majlis seperti ini anthem kebangssaan “Negaraku” dan lagu-lagu patriotik yang lain dinyanyikan. Pada ketika-ketika sebegini, rakyat Malaysia dari semua keturunan menzahirkan perasaan bersatu, taat setia dan rasa kecintaan mereka kepada bumi bertuah Malaysia. Tetapi yang ironisnya, mereka meninggalkan Malaysia dan bermastautin di negara orang.

Menyentuh tentang identifikasi keMalaysiaan, saya dapati satu perkara menarik di Wellington ialah perniagaan makanan. Jika sesorang itu pertama kali menjejak kaki ke Wellington, beliau akan merasai seolah-olah berada di Malaysia. Terdapat kira-kira 25 buah restoran Malaysia di Wellington, setiap satunya memaparkan nama Malaysia atau Malaysian dengan jelas di papan tandanya. Antaranya, ialah Istana Malaysia, Satay Malaysia, Satay Kajang Restaurant, Kopi Malaysian Espresso Café, Cinta Malaysian Restaurant, dan Satay Kampong. (Lihat Jadual 3).

Jadual 3 : Restoran Malaysia di Wellington, New Zealand 

No

Nama Restoran

Alamat

1

Cinta Restaurant

Courtney Place, City 

2

Givas Malaysian Cuisines

114,  Johnsonville Road

3

Istana Malaysia

1-5 Allen St, City

4

KK Malaysian Restaurant

54, Ghuznee Street, City

5

Kopi Malaysian Espresso Cafe

103 Willis St, City

6

Malacca Restaurant & Bar

41 Vivian St, City

7

Malaya Village Restaurant

17-19 Majoribanks St Mt Victoria, City

8

Malaysian Cafe

264 Jackson St, Petone

9

Malaysian Platter

501 Hutt Rd, Lower Hutt

10

Roti Chenai Cafe

120 Victoria St, City

11

Satay Kajang

39 Dixon St, City

12

Satay Kampong

Allen Street, City

13

Siows Malaysian Curry & Grill

41 Vivian St Central Wellington

14

Satay Malaysia Restaurant

18-24 Allen St Central Wellington

15

Sungai Wang Malaysian Cafe

68 Dixon St, City

16

Sungai Wang Malaysian Rest.

18 Bunny St, Lower Hutt

17

The Malaysian Kitchen Rest.

200 Cuba St Central Wellington

Sumber: Telecom NZ 2002/03, Yellow Pages (Pg.896); lihat juga http://www.edine.co.nz/asian.htm

 Jadual 4

Menu Terpilih Makanan Malaysia (Kopi Malaysian Restaurant, Wellington)

Jenis Cuisine

Harga (NZ$)

Jenis Cuisine

Harga (NZ$)

Ayam Panggang 

13.50

Kerang Masak Lemak

15.50

Sambal Pedas Ayam

13.50

Sambal Udang Chilli     16.50
Daging Kicap Manis

13.50

Sambal Sotong Lemak

14.00

Sayur Goreng Udang

12.50

Ikan Kukus Kicap

14.50

Gado-Gado

12.50

Ikan Panggang

14.40

Tofu Bakar Kerabu

14.50

Nasi Lemak

13.50

Mee Goreng

13.50

Nasi Goreng

13.50

Mee Goreng Mamak

15.00

Nasi Kandar

15.00

Asam Manis Laksa

14.00

Nasi Daging Kambing

15.50

Gulai Ikan

13.50

Nasi Kari Ikan

15.50

 Source: http://www.kopi.co.nz/about.html

Kebanyakan daripada menu di restoran tersebut juga ditunjukkan dalam bahasa Melayu, seperti roti canai, nasi lemak, nasi goreng, sayur goreng udang, gado-gado, mee sayur, mee goreng mamak, roti pisang, ais kacang, dll. (lihat Jadual 4) Cuma harganya sahaja yang agak mahal – mungkin sestengah item itu lima kali ganda atau lebih daripada harga di Malaysia. (Bagi mereka yang pergi ke Wellington buat beberapa hari sahaja, lebih baik menangguhkan hasrat untuk memakan makanan Malaysia di sana walau pun kempunan, lainlah kalau ada yang mengidam)

PENUTUP

Pada keseluruhannya, jika saya dapat simpul dan katakan di sini, jati diri itu bukanlah sesuatu yang hakiki yang kekal dalam bentuk asalnya tanpa berubah.  Masyarakat dan budaya mengalami perubahan dalam pelbagai aspek selaras dengan perubahan masa dan keadaan. Asas-asas jati diri Melayu di zaman silam amat berbeza dengan asas-asas selepas kedatangan pengaruh luar, khususnya dari India, China, Timur Tengah, dan Eropah. Apabila orang Melayu menganut Islam, misalnya, mereka menjadikan Islam sebagai tonggak utama jati diri Melayu. Alhamdullillah, tonggak keIslaman ini masih kekal dan masih kuat dipertahankan. Tetapi bagaimana dengan tonggak-tonggak lain – bahasa, adat resam, nilai, falsafah dan sebagainya.

Saya rasa kebanyakan daripada perkara-perkara di atas telah luntur dan pudar, terutama dalam konteks perkembangan masyarakat global masa kini yang banyak memperlihatkan gabungan unsur budaya dari seluruh pelusuk dunia. Masyarakat Melayu juga tidak terlepas dari terperangkap dalam arus perkembangan ini. Mereka akan turut menjadi manusia global dan akan turut mengamal serta menghayati unsur-unsur budaya global yang banyak berlandaskan budaya dominan Barat. Jadi tidak hairanlah jika orang Melayu di perantauan (khususnya di New Zealand) akan cepat mengalami kelunturan budaya dan asas-asas jati mereka sebagai orang Melayu dalam ertikata yang sebenarnya sebab mereka berada di tengah-tengah medan masyarakat yang mengamalkan budaya dominant (Barat) tersebut.

REFERENCES

  1.  Barbara Thomson Research Unit, (1999), Ethnic Diversity in New Zealand:  A Statistical Profile, Ethnic Affairs Service Information Series No. 3, Dept. of Internal Affairs, New Zealand.
  2. Bernard, Timothy (ed), 2004, Contesting Malayness: Malay Identity Across Boundaries, Singapore University Press.
  3. Dr Asrul Zamani, The Malay Ideals, Golden Books Centre, Kuala Lumpur.
  4. New Zealand Census on Population and Dwelling Report, 2001.
  5. Ross Poole, 1999, Nation and Identity, Routledge, London
  6. Telecom NZ 2002/03, Yellow Pages (Pg.896)

 WEBSITES

  1.  Global Sources. Business Culture in Malaysia. (www.globalsources.com/tntlist/trvguide/malaysia/my_bc.htm)
  2. Global sources. Business Culture in New Zealand. (www.globalsources.com/tntlist/trvguide/newzlnd/nz_bc.htm)
  3. Lalervo Oberg. 1960. Culture Shock & The Problem Of Adjustment To New Cultural Environments. (www.worldwide.edu/planning_guide/Culture_Re-entry_Shock/)
  4. Kopi Fabulous Cuisines (http://www.kopi.co.nz/rice.html)

 

Yaacob Harun (2005)

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s