YAACOB HARUN

Just another WordPress.com weblog

ZA’BA DAN PROSES SOSIALISASI May 25, 2009

Filed under: Uncategorized — yaacob @ 6:37 am

ZA’BA DAN PROSES SOSIALISASI

Yaacob Harun

______________________________________________________________________________________

 PENDAHULUAN

Pendita Za’ba (1950) telah membuat penghuraian mendalam tentang   adap  sopan  dan tata tertib yang  ada  atau  yang sepatutnya  ada/dimiliki oleh setiap individu  Melayu.  Jika tidak  memilikinya,  seseorang itu  tidak  dianggap  sebagai orang Melayu yang sebenar, atau merupakan orang Melayu  yang mempunyai darah asing dalam dirinya.  Pembentukan peribadi  yang beradab serta bersopan, pada hakikatnya  bermula  di  rumah.  Dalam  hal  ini,   keluarga memainkan  peranan  yang  paling  penting  dalam  membentuk, mengasah   dan  mencernakan  peribadi  itu  selaras   dengan perturan  adab dan tata susila yang menjadi  amalan/dokongan bersama   semua  anggota  masyarakat.  Jika  seseorang   itu melakukan sesuatu yang bertentangan dengan amalan  konvensi, maka  keluarga adalah dipersalahkan, sesuai  dengan  pepatah Melayu yang berbunyi, “keruh di hulu, keruhlah di hilirnya”. (Za’ba,1950:73).

Bagi Za’ba, orang yang tidak beradab adalah orang  yang tidak  mendapat  asuhan  yang  baik  atau  kekurangan  “good breeding”.  Asuhan yang baik (good breeding) mengikut  Za’ba ialah  “suasana  yang  sesuai  bagi  pendidikan  sosial  dan pendidikan  yang  diberi  oleh  ibu   bapa  di  rumah   pada peringkat  awal  zaman  kanak-kanak  supaya  seseorang   itu menjadi  budiman  sebenar (the proper atmosphere  of  social upbringing  and  education  by  parents  at  home  in  early childhood to make the true gentleman”. (Ibid, 62). 

PERANAN KELUARGA DALAM PROSES SOSIALISASI

Keluarga  bertindak  sebagai  agen   sosialisasi  utama dalam  masyarakat terutamanya untuk  melengkapkan  seseorang anak  itu  dengan   intipati   budaya   (cultural   essence)  supaya  beliau dapat berinteraksi dengan anggota  masyarakat yang  lain dalam lingkungan peraturan dan norma sosial  yang ditetapkan.

Proses  sosialisasi/pendidikan  yang  dijalankan   oleh keluarga   bukan sesuatu yang   formal   sepertimana  diajar  di  sekolah,  tetapi  yang bercorak progresif, iaitu, proses di   mana  individu  mempelajari  cara-cara/peraturan   yang diamalkan oleh masyarakat atau kelompok supaya mereka  boleh berfungsi  dalam masyarakat/kelompok tersebut (the   process  by   which  individuals learn  the  ways  of  a  society  or group  so  that  they can function within  it).  (Elkin  dan  Handel,1972:4).

Pada   umumnya,  adalah  menjadi  tanggungjawab   utama keluarga   bagi   mempastikan   seseorang  kanak-kanak   itu terdidik    dengan  sempurna   agar  mereka  tidak   menjadi anggota masyarakat  yang disisih   (social  misfits).  Dalam  soal ini kepentingan “parenting”  tidak  dapat dipertikaikan  “bagi   perkembangan  fizikal,   intelek,  emosi  dan   juga perkembangan   sosial   seseorang  kanak-kanak”,   (Popenoe, 1967).

 Anak-anak  yang   dididik dengan   sempurna   oleh  ibu bapa, bukan sahaja  akan  menjadi anggota  masyarakat   yang  berguna,    tetapi   akan   mempunyai  ikatan   emosi    dan  sentimen  yang  kuat  terhadap  ibu  bapa mereka.   Sesebuah  keluarga  yang  padu  ialah  keluarga   yang  memperlihatkan  unsur  kemesraan  (affection) dan  juga  kasih  sayang  yang mendalam di kalangan anggotanya.

Setakat  mana  seseorang itu  dapat  dibekalkan  dengan keperluan  di  atas  bergantung kepada kemampuan  dan  sifat keluarga, khususnya  kepada ada atau tidak adanya sikap  dan perasaan   tanggung  jawab  ibu  bapa  untuk  mendidik   dan menurunkan  nilai  murni yang diakui.  Jika ibu  bapa  gagal menjalankan tanggung jawab tersebut, maka jadilah  anak-anak dalam  keluarga  itu orang yang hilang panduan,  atau  orang yang  tidak bertatasusila apabila bergaul dengan orang  lain di luar lingkungan keluarga. 

NILAI MURNI DAN ADAB SOPAN MENGIKUT ZA’BA.

Pembentukan  peribadi  yang baik,  dan  bertata  susila adalah  satu  proses yang panjang yang berlaku di  sepanjang hayat  seseorang.  Nilai  murni perlu  dipupuk   oleh  semua agensi  yang terlibat dalam proses  sosialisasi  terutamanya oleh  keluarga.  Sehubungan dengan itu, Za’ba dalam Pelita Bahasa Melayu III  (1956:297-300) telah mengenalpasti  serta  menghuraikan beberapa  sifat dan perangai mulia yang pada  keseluruhannya merupakan  nilai  murni  yang perlu  didokong  bersama  oleh seluruh masyarakat dan diterapkan dalam proses  sosialisasi. Antaranya ialah:

  1. Perangai hormat – Memiliki perangai hormat adalah  satu petanda  yang seseorang itu mendapat asuhan dan ajaran  yang baik.  Za’ba  mengatakan  “usul  menunjukkan  asal,   bahasa menunjukkan  bangsa”.  Seseorang itu  tidak  akan  mengalami kerugian jika selalu menghormati orang lain tidak kira orang itu  kecil  atau  besar, tua atau  muda,  hina  atau  mulia. Sebaliknya banyak kerugian akan dialami jika bersifat kasar, biadab  dan tidak menghormati orang. Bagi  Za’ba,  perkataan kurang ajar adalah satu nusta besar kepada orang Melayu.
  2. Kejahatan  duduk  tidak bekerja  –  Sifat  seperti  ini dianggap bapa kepada lain-lain kejahatan. Iblis selalu dapat mempengaruhi orang yang tidak bekerja, menjadikan orang  itu seorang  yang  malas, mundur, rungsing fikiran,  dan  selalu tidak berpuas hati.
  3. Perangai berpuas hati – Za’ba mengatakan tidak ada orang lebih  nikmat  hidupnya daripada orang yang  selalu  berpuas hati.  Perasaan  puas  hati  itu  bukan  berpunca   daripada kekayaan, pangkat dan kuasa tetapi daripada hati yang  tidak mempunyai  banyak kehendak, dan selalu berfikir  bahawa  apa yang  diberi  oleh Tuhan itu adalah terbaik  dan  mencukupi. Namun  demikian,  seseorang  itu tidak  boleh  berserah  dan tawakal semata-mata tanpa iktiar.
  4. Taat  perintah – Ini termasuk taat  kepada  pemerintah, undang-undang, ibu bapa dan guru. Akan tetapi sifat taat ini tidak perlu pada perkara yang melanggar perintah Tuhan.
  5.  Kebersihan –  Sifat bersih adalah satu tuntutan  agama, termasuk  kebersihan  fizikal  (badan,  pakaian,  dan  makan minum) dan kebersihan hati.
  6. Perangai lurus dan benar – Perangai seperti  ini  patut dimiliki  oleh  semua  anggota  masyarakat.  Kebenaran  yang ditunjukkan bukan mengharapkan balasan. Orang yang lurus dan benar  tetap  suka,  selamat, dan  tidak  takutkan  apa-apa, selaras  dengan pepatah Melayu yang berbunyi, “takut  kerana salah, berani kerana benar”.
  7. Tekun  dan  sabar  – Sifat  ini  wajib  ada  pada  diri seseorang  apabila menjalankan sesuatu pekerjaan.  Seseorang itu  tidak boleh mudah tawar hati, tetapi tetap bekerja  dan mencuba tidak kira apa halangan yang dialami. Pepatah Melayu mengatakan,  “batang parang pun diasah lagikan  tajam”,  dan “sabar dan tekun akan mengalahkan gunong”.
  8. Perangai  jimat cermat – Mengikut  Za’ba  perangai  ini bermaksud  berdikit-dikit pada perbelanjaan, cermat  memakai harta  benda,  dan  beringat  menyimpan  untuk  masa  susah. Perangai  jimat cermat ini akan mendatangkan kemewahan  pada akhirnya.  Za’ba  menurunkan beberapa  bidalan  Melayu  yang berthabit  dengan perangai ini, iaitu, “nak  kaya  berdikit-dikit”,  “ingat sementara belum kena, jimat sementara  belum habis”, dan “jangan buang-buang, tak ada wang terbuang”.
  9. Perangai rajin – bermaksud selalu suka bekerja dan  kuat bekerja.  Bagi  Za’ba, rajin lebih baik  daripada  pandai… “rajin dan usaha memudahkan kerja yang payah-payah”.

Selain  itu, dalam Malay Manners and  Etiquete  (1950), Za’ba telah menurunkan beberapa amalan berkaitan dengan adab dan  tatasusila  dalam masyarakat Melayu,  dan  perkara  ini sentiasa  dipupuk  dan  diamalkan oleh  orang  Melayu  turun temurun. Antaranya ialah:

  1.  Memberi  salam apabila berjumpa dengan  sesiapa  sahaja yang sama seagama.
  2. Bertegor  sapa  (menegor  sapa)  apabila  bertemu  atau berselisih  jalan  dengan  rakan atau  sesiapa  sahaja  yang sebangsa atau seagama.
  3. Berjabat tangan atau bersalaman apabila bertemu  saudara mara, rakan, dan kenalan.
  4.  Mempelawa rakan atau kenalan datang ke rumah.
  5.  Menziarahi saudara mara, rakan atau kenalan dari  semasa ke semasa.
  6.  Menyapa orang dengan istilah menyapa yang betul, seperti tuan,  encik  dll. Tidak menggunakan istilah  “aku”  apabila bercakap  dengan  orang tua dan ibu bapa atau  dengan  siapa sahaja yang patut dihormati.
  7. Bercakap dengan nada suara yang rendah dan tidak  dengan nada suara yang kuat seolah-olah seperti menjerit.
  8. Membiarkan   seseorang itu selesai bercakap  dan  tidak  mencelah cakap di tengah-tengah.
  9.  Memberi  peluang  kepada orang  lain  untuk  sama-sama bercakap  dan tidak  boleh memonopoli perbualan seluruhnya.
  10.  Mengelak daripada menceritakan terlalu banyak  tentang diri  sendiri, kejayaan sendiri, kebaikan  keluarga  sendiri dll. hingga orang lain menyampah mendengarnya.
  11.  Menggunakan tangan kanan apabila makan  atau   memberi sesuatu  kepada  orang lain atau menerima  sesuatu  daripada orang lain.
  12.  Membasuh tangan sebelum makan.
  13.  Menjamah makanan selepas dipelawa oleh tuan rumah  dan tidak sebelumnya.
  14.  Mengelak daripada mengeluarkan cecair hidung (blow  the nose)  dan kentut ketika makan. Begitu juga,  elak  daripada  makan  dengan  celopah  dengan  mengeluarkan  bunyi  “cepak-cepak”.
  15.  Makan secara bersila bagi lelaki atau secara  betimpuh bagi perempuan.
  16.  Mengelak  daripada memuji diri  sendiri  dan  bersifat bangga  diri (boasting). Seseorang itu dikehendaki  mengikut  resmi padi makin berisi makin merunduk, dan jangan  mengikut resmi jagung, makin berisi makin menegak. Tentang perkara ini, Za’ba mengatakan, ” A Malay  would keep his knowledge to himself… Even if he is an expert  in his  line he will never say so or claim that he  knows  much about  it. .. As for himself he would rather go on  assuming the humble ways of a student and learn more, than put on the airs of teacher in all things”. (Ibid:61).
  17. Mengelak daripada mempunyai sifat tinggi tiri dan sifat sombong (snobbishness).
  18. Mengelak daripada mengambil tahu hal orang lain.
  19. Mengelak  daripada  tabiat suka  mengampu  dan  memuji berhadapan.
  20. Mengelak daripada duduk membelakangi orang.
  21. Bertunduk sedikit apabila berlalu di depan orang.
  22. Mengelak  daripada  memberi  sesuatu  benda  melampaui kepala  orang  lain  yang sedang  duduk  (to  avoid  passing something over the heads of other people who are sitting).

 PENERAPAN NILAI MURNI DALAM MASYARAKAT MELAYU

 Pada umumnya,  di kalangan orang Melayu proses mendidik dan  membesarkan  anak-anak dengan  menerapkan  nilai  murni supaya  mereka  menjadi anggota masyarakat  yang  konformis adalah   satu  tanggung jawab moral yang  jarang  diabaikan. Orang  Melayu  pantang diseranah  dengan  perkataan  `kurang ajar’ kerana ini akan sekaligus mencabar kewibawaan keluarga dan  maruah ibu bapa. Seseorang ibu atau seorang  bapa  akan turut merasa terhina jika anak mereka diseranah  sedemikian, kerana  perkataan “kurang ajar” membawa  pengertian,  mereka tidak  mengajar atau mendidik anak mereka dengan sempurna.

Dalam proses sosialisasi anak-anak, orang Melayu sering berpandukan  kepada  bidalan-bidalan  ataupun   perumpamaan-perumpamaan  tertentu.  Bidalan-bidalan warisan  bangsa  ini jika diteliti pengertiannya satu persatu akan  menggambarkan bahawa  masyarakat Melayu sangat mementingkan  didikan  yang sempurna  di peringkat keluarga, bersesuaian  dengan  fungsi keluarga sebagai agen sosialisasi yang utama dan  terpenting dalam masyarakat.

Perumpamaan yang berbunyi “Kalau melentur buluh biarlah semasa   masih  rebung”,  menunjukkan  bahawa    pembentukan peribadi  dan  akhlak yang mulia dan selaras  dengan  norma-norma  kemasyarakatan  bermula  dari  peringkat  kanak-kanak lagi. Seseorang yang tidak mendapat didikan yang  sepatutnya di  peringkat keluarga berkemungkinan akan  menjadi  seorang `deviant’   atau  seorang  yang  kucar-kacir  peribadi   dan tatasusilanya di sisi masyarakat.

Dilihat   dalam  konteks  ini,  keluarga  sering   juga dianggap  sebagai  punca bagi segala keburukan  yang  wujud. Justeru  itu, keluarga terutama ibu bapa  bertanggung  jawab mencorak  dan mewarnakan tingkah laku dan budi pekerti  yang baik  kepada anak-anak mereka. Bidalan Melayu yang  berbunyi “sayangkan anak pukul-pukulkan…” mempunyai hubungan  rapat dengan proses mencorak dan mewarnakan tingkah laku dan  budi pekerti anak-anak seperti yang dimaksudkan.

Seandainya  seorang  kanak-kanak itu  dibesarkan  dalam keluarga  yang  tidak  mematuhi  peraturan  atau  ibu   bapa merupakan   orang-orang  yang  disifatkan   sebagai   social deviants,   besar  kemungkinan  kanak-kanak  tersebut   akan mengikut  perangai dan kelakuan ibu bapanya  serta  mewarisi ciri-ciri deviance tersebut. Atas alasan inilah maka  sistem norma  dalam  masyarakat Melayu  menggariskan  bahawa  dalam proses sosialisasi ini ibu bapa tidak seharusnya menunjukkan perangai serta sikap yang buruk kepada anak-anak kerana  ini mudah  dicontohi  oleh mereka hingga  mengakibatlkan  mereka juga   menjadi    social  deviants   yang   tersisih   dalam masyarakat.

Perumpamaan seperti “Bapa borek anak rintik”, “Ke  mana tumpahnya  kuah,  kalau  tidak ke nasi”,  dan  “Kalau  Bapak kencing  berdiri,  anak  akan  kencing  berlari”   merupakan amaran-amaran  kepada  ibu  bapa  supaya  berhati-hati   dan sentiasa  menunjukkan budi pekerti yang baik terhadap  anak-anak terutama sekali pada peringkat mereka masih “rebung”.

Dalam masyarakat Melayu bandar, fungsi sosialisasi awal yang  sepatutnya  dijalankan  oleh  keluarga  telah   banyak diserahkan   kepada  agensi-agensi  luar  keluarga   seperti nursery,  dan baby-sitter, ataupun anak-anak itu diletak  di bawah jagaan dan didikan orang gaji yang lebih  mementingkan wang.  Ini lumrah terjadi jika ibu bapa  bekerja.  Akibatnya anak-anak  yang masih mentah, tanpa disedari  akan  mewarisi mentaliti  dan  tingkah  laku sesiapa  sahaja  yang  menjadi pendidik mereka.

Kesan  yang  lebih buruk ialah, anak-anak  sejak  kecil lagi telah renggang hubungannya dengan ibu bapa, dan keadaan ini  sedikit akan menjejaskan kasih sayang antara  kedua-dua pihak.  Tanpa kasih yang mendalam, anak-anak  mungkin  tidak akan menghormati orang-orang tua dan mungkin juga tidak akan mempunyai   perasaan   tanggungjawab   untuk   menjaga   dan mempertahankan nama baik keluarga.

Pada   hakikatnya,   proses  sosialisasi   dan   proses pembentukan  peribadi  yang baik adalah  sesuatu  yang  amat sukar. Kejayaannya adalah bergantung kepada kegigihan  usaha dari  semua pihak yang terlibat. Menyedari  bahawa  keluarga merupakan  institusi  yang  paling  intim  dalam   kehidupan kemasyarakatan,     maka    adalah    wajar     ia     lebih dipertanggungjawabkan.   Ini  bermakna   keluarga   terpaksa menjalankan  fungsi pelajaran dan sosialisasi  dengan  lebih berkesan.

Sesebuah  masyarakat  yang  berdisiplin  dan   mematuhi peraturan  akan lebih memantapkan sesebuah negara. Ini  akan hanya  tercapai  jika anggota-anggotanya sejak  masih  kecil lagi  dibentuk, dibendung dan diterapkan dengan nilai  murni kerana, “kalau hendak melentur buluh itu, biarlah semasa  ia masih  rebung”.  Ini selaras dengan pendapat  Pendita  Za’ba yang  mengatakan  “good breeding”  adalah  bermula  daripada rumah di mana anak-anak semasa mereka masih kecil diasuh dan dididik dengan sempurna, dengan harapan mereka akan  menjadi orang yang budiman (gentlemen).

—————————————-

 RUJUKAN

  1.  Anderson,  M.,  (ed.),  (1977),  Sociology  of  the Family, Penguin Books, Middlesex, England.
  2.  Burges, et.al., (1971), The Family – From Traditional  To Companionship, Van Nostrand Reinhold Company, New York.
  3.  Duvall, E.M., (1977), Marriage and  Family  Development, J.B. Lippincott Company, Philadelphia.
  4.  Elkin, F., dan Handel, G., (1972), The Child and Society: The Process of Socialization, Random House, New York.
  5.  Fletcher, R., (1966), The Family and Marriage in Britain, Penguin Books, Middlesex, England.
  6.  Kuchiba et.al., (1979), Three Malay Villages: A Sociology of  Paddy  Growers  in West Malaysia,  University  Press  of Hawaii, Honolulu.
  7.  Leslie, G., (1973), The Family in Social Context,  Oxford University Press, New York.
  8.  Zainal  Abidin Ahmad, (1956) Pelita Bahasa  Melayu  III, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
  9.  Zainal Abidin Ahmad, (1950), Malay Manners and  Etiquete, Royal Asiatic Society.
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s