YAACOB HARUN

Just another WordPress.com weblog

PENGAJIAN MELAYU SEBAGAI PENGAJIAN KEBANGSAAN May 28, 2009

Filed under: Uncategorized — yaacob @ 3:32 am

 PENGAJIAN MELAYU SEBAGAI PENGAJIAN KEBANGSAAN

 Yaacob Harun

________________________________________________________________________

Pengajian kebangsaan pada dasarnya adalah pengajian ke atas satu-satu bangsa atau ‘nation’. Bagi saya terdapat dua perkara utama yang terkandung dalam konsep kebangsaan itu iaitu (a) wilayah/negara dan (b) penduduk/rakyat.  Hubungan antara negara dan rakyat/penduduk adalah bersifat saling melengkapi, berbaur dan  terangkai – negara tidak dapat wujud tanpa adanya rakyat dan begitu juga sebaliknya. Pada pendapat saya, hubungan antara dua perkara utama ini terangkum dalam konsep NUSA dan BANGSA.

Perbincangan saya tentang Pengajian Melayu sebagai Pengajian Kebangsaan ini merujuk kepada dua perkara utama dalam konsep kebangsaan yang saya sebut tadi iaitu wilayah/negara/negeri dan penduduk/rakyat. Untuk membincangkan pengajian Melayu sebagai pengajian kebangsaan di Malaysia, izinkan saya menyingkap semula faktor sejarah berkaitan dengan soal wilayah/negara dan soal penduduk/rakyat di negara ini.

Sebelum dijajah oleh Portugis, Belanda, dan kemudiannya oleh Inggeris, penduduk di rantau ini tinggal di negeri-negeri yang setiap satunya mempunyai autonomi tersendiri. Di Semenanjung Malaysia, negeri-negeri ini adalah negeri-negeri Melayu (Malay states) di mana penduduk/rakyat masing-masing  ketika itu boleh dikatakan seluruhnya terdiri daripada orang Melayu/bumiputera. Mereka bernaung di bawah pemerintahan sultan atau raja yang berdaulat. Sultan/raja memberi perlindungan kepada rakyat dan rakyat pula menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada raja masing-masing.

Turun temurun perkara ini dapat dihubungkan dengan  perjanjian (wa’dah) antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun sepertimana tercatat dalam Sejarah Melayu. Dalam konteks ini kita dapati wujud hubungan saling melengkapi dan terangkai antara negera/negeri dan penduduk/rakyat, iaitu memenuhi konsep Nusa dan Bangsa yang saya sebutkan.

Apabila Inggeris menjajah, negeri-negeri Melayu ini disatukan secara longgar ke dalam tiga kelompok kesatuan negeri iaitu (a) negeri-negeri Selat, (b) negeri-negeri Melayu bersekutu atau FMS, dan (c) negeri-negeri Melayu tidak bersekutu/UFMS,   Walau bagaimana penyatuan negeri-negeri Melayu sedemikian tidak menjejaskan hubungan timbal balas, berbaur dan terangkai antara negeri (di bawah naungan sultan dan raja) dan rakyat (khususnya orang Melayu). Rakyat tetap berdiri teguh di belakang raja mereka dan sanggup berkorban jiwa dan raga, malah bangun menentang penjajah bagi mempertahankan kedaulatan negeri dan raja masing-masing. (dalam kes-kes Mat Kilau, Tok Janggut, Datuk Bahaman dll)

Seperti kita maklum semasa penjajahan, Inggeris menggalakkan kemasukan ratusan ribu pekerja dari negera China dan India bagi mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor perlombongan dan perladangan. Sebahagian besar daripada pekerja asing ini menetap di British Malaya (termasuk juga di Sarawak & North Borneo/Sabah) hingga akhirnya mereka diterima menjadi rakyat di negara ini.  Ada pendapat mengatakan (dan saya bersetuju dengan pendapat tersebut), bahawa pekerja asing dari China dan India yang tinggal di negeri-negeri di mana terdapat lombong dan ladang tempat mereka berkerja itu sebenarnya tidak bernaung di bawah negeri dan kuasa raja-raja Melayu di negeri-negeri berkenaan. Dengan demikian tidak wujud hubungan yang saling melangkapi berbaur dan terangkai antara mereka (pekerja asing ini) dengan raja dan negeri tempat mereka berkerja sepertimana wujudnya hubungan sedemikian antara orang Melayu dengan negeri/raja mereka.  Tidak keterlaluan jika saya katakan pada ketika itu golongan pendatang ini hanya menganggap diri mereka sebagai pekerja dengan majikan mereka iaitu penjajah Inggeris.  Hubungan yang wujud antara mereka dengan kerajaan kolonial di British Malaya  tidak lebih daripada hubungan antara pekerja dan majikan yang pastinya tidak saling melengkapi dan tidak terangkai seperti yang sepatutnya wujud dalam hubungan antara negera dan rakyat dalam konsep kebangsaan yang saya maksudkan itu. Bagi saya konsep Nusa dan Bangsa mereka ketika tidak tercantum, Nusa mereka (negera China dan India) adalah terpisah daripada Bangsa (iaitu diri mereka sendiri di perantauan).

Tetapi bagi penduduk Melayu termasuk penduduk bumiputera rumpun Melayu yang lain, hubungan mereka  dengan Nusa tidak pernah luntur sejak zaman berzaman baik pada masa sebelum penjajahan, semasa penjejahan, maupun pada masa kini iaitu selepas negara mencapai kemerdekaan. Oleh yang demikian, saya berpendapat pengajian kebangsaan di Malaysia mestilah berteraskan pada konsep kebangsaan yang jitu iaitu pengajian ke atas dua perkara pokok yang saling melengkapi dan saling terangkai tersebut.

Namun demikian, saya tidak mengatakan pengajian ke atas penduduk bukan-Melayu tidak penting, malah ia sama pentingnya dengan kajian ke atas penduduk Melayu dan bumiputera. Kini orang bukan-Melayu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan orang Melayu sebagai warganegara Malaysia dan sama-sama mendokong cita-cita kebangsaan bagi membawa kemajuan yang lebih besar kepada negara ini pada masa akan datang. Cuma pengajian ke atas penduduk Melayu (yang dikenali sebagai pengajian Melayu itu) mestilah menjadi teras dan fokus pengajian kebangsaan di Malaysia.

Walau bagaimana pun kita mesti sedar  hakikat bahawa orang Melayu telah berkorban bagitu besar menerima orang-bukan Melayu sebagai rakan warganegara dengan syarat orang bukan-Melayu bersetuju  menerima empat perkara pokok (dalam kontrak sosial) yang berteraskan keMelayuan iaitu (a) kedudukan raja-raja Melayu, (b) kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, (c) kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan (d) kedudukan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera lain sepertimana termaktub dalam Perkara 32, Perkara 2,  Perkara 152 dan Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.

Sehubungan dengan pengorbanan orang Melayu tersebut, saya ingin memetik kata-kata Al Marhum Tunku Abdul Rahman Puta AlHaj Perdana Menteri Malaysia yang pertma yang “ berbunyi,  “ …orang Melayu sedia memberikan hak-hak yang munasabah dan patut kepada orang bukan Melayu. Orang Melayu telah memberikan pengorbanan yang begitu banyak daripada hak-hak sebagai bumiputera Tanah Melayu kepada bangsa-bangsa bukan Melayu. Belum ada satu bangsa anak negeri yang berbudi sebegitu banyak seperti yang diperbuat oleh orang Melayu” ( Malaya Merdeka, 26 April 1956 )

Realitinya,  empat perkara pokok dalam Perlembagaan Malaysia yang dimaksudkan sejak dulu hingga kini menjadi tonggak bagi konsep kebangsaan Malaysia – memenuhi gagasan atau konsep Nusa dan Bangsa berkenaan. Sistem politik yang kita amalkan iaitu Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan; dasar pendidikan nasional; dasar kebudayaan nasional, dasar bahasa kebangsaan, dasar pertanian nasional, malah dasar pembangunan ekonomi nasional dan lain-lain secara langsung dan tidak langsung adalah berlandaskan kepada empat perkara pokok tersebut. Jadi sebagai rumusan, teras KEBANGSAAN negara ini adalah MELAYU, lantaran itu PENGAJIAN KEBANGSAAN sewajibnya PENGAJIAN MELAYU.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s